Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Bekalan Air Tawar Di Sabah semakin Kritikal

0

eksklusif

PROF iR DR. ROSALAM SARBATLY

PENEROKAAN kawasan hutan yang tidak terkawal bagi tujuan pembalakan dan perladangan telah memberi kesan negatif terhadap kelestarian bekalan air bersih menyebabkan berlakunya banjir kilat, kekurangan bekalan air bersih semasa musim kemarau panjang, dan peningkatan kos rawatan air.

Tanpa perancangan dan kawalan ketat, isu bekalan air bersih di Sabah akan terus memuncak dan menjadi kritikal dalam tempoh 10-15 tahun akan datang. Kesannya adalah perkembangan sektor ekonomi terencat, keselamatan sumber makanan terancam dan kesihatan masyarakat terganggu.

Isu bekalan air bersih secara langsung meningkatkan kadar kemiskinan. Pada 2019 sebelum pandemik covid19 bermula, jumlah penduduk yang hidup di bawah garis kemiskinan di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar daripada 19.5%.

Buat masa ini, Sabah masih lagi berada dalam fasa pengeluar sumber asli dan sedang cuba beralih kepada fasa perindustrian. Namun isu bekalan air bersih sudah berada dalam keadaan tidak stabil. Selepas fasa peralihan iaitu sekitar 10 tahun dari sekarang, bekalan air bersih di jangka kritikal dan tidak mampu menampung bekalan air bersih secara lestari sepanjang tahun untuk memacu sektor ekonomi berkembang secara positif. Terbantutnya sektor ekonomi bakal menggandakan jumlah pengangguran dikalangan masyarakat dan kesannya kadar kemiskinan di Sabah akan terus meningkat.

Atas faktor tersebut, Sabah mesti bertindak segera menjaga dan memajukan kelestarian bekalan air. Infrastruktur takungan bekalan air bersih mesti dibina bagi memastikan ianya terjamin sepanjang tahun. Bagi kawasan-kawasan luar bandar, sistem rawatan terpencil daripada sumber air permukaan dan bawah tanah mesti dibangunkan untuk memastikan kesihatan umum terus terjaga.

Bekalan air yang stabil berserta bekalan elektrik, infrastruktur digital, dan sistem logistik yang baik akan menggalakkan pertumbuhan industri-industri hiliran. Sabah mempunyai banyak sumber tempatan yang boleh ditambah nilai misalnya produk produk minyak dan gas, pertanian, perhutanan, perikanan, sektor pelancongan, dan pembuatan menerusi pengukuhan industri hiliran.

Sabah menerima taburan hujan sekitar 2500-3500 mm setahun dan rizab hutan simpan sekitar 3.9 juta hektar sepatutnya tidak menghadapi sebarang masalah sumber bekalan air bersih sekiranya ia diurus dengan baik.

Keluasan ladang kelapa sawit berkembang pada kadar 1.5-2% setahun dengan saiz ladang di Sabah sekitar 1.65 juta hektar pada tahun 2021 berbanding sekitar 1.41 juta hektar pada tahun 2010. Jumlah penduduk di Sabah pula berkembang sekitar 1.1-1.5% sejak 2010 dengan jumlah penduduk pada masa ini adalah sekitar 3.9 juta orang. – Oleh: ROF iR DR. ROSALAM SARBATLY

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.