Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Bersatu Sabah Lumpuh, Adun Keluar Parti

0

Oleh DG HENRY

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Teka-teki mengenai halatuju politik pemimpin Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah terjawap, apabila kesemua wakil rakyatnya meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu  pada Sabtu.

Hajiji (tengah) bersama pimpinan Parti Bersatu selepas mengumumkan keputusan untuk meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu

“Bersatu Sabah lumpuh,” reaksi penganilis politik tempatan, sementaraTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu sebagai keputusan tepat.

Bersatu Sabah merupakan komponen gabungan  bersama parti tempatan lain, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Sabah termasuk dua Adun Dilantik, serta empat Ahli Parlimennya perlu meninggalkan parti itu.

Bercakap dalam satu siaran media, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu dibuat dengan mempertimbangkan keadaan lanskap politik Malaysia khususnya Sabah pada ketika ini.

“Kami membuat keputusan ini setelah mempertimbang keadaan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

“Keputusan sebulat suara ini adalah demi kepentingan Sabah, demi perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk kita terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

“Justeru, kami akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini kami secara kolektif akan menjadi ahli GRS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, pada masa ini wakil rakyat akan menggunakan GRS untuk menyuarakan kepentingan Sabah dan negeri-negeri Borneo.

Menurut beliau, keputusan ini adalah yang terbaik untuk perpaduan dan kestabilan politik di Sabah.

Katanya, keputusan itu diambil setelah mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa pertimbangan terbaik untuk pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk kestabilan politik dan pemulihan ekonomi.

“Kami berikrar memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan dan kami yakin dengan kepemimpinan dan kebijaksanaan Anwar  untuk memimpin negara.

“Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan juga adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Sabah dan perpaduan dalam kalangan rakyat berterusan.

“Adalah menjadi komitmen kami bersama Sarawak sebagai Blok Borneo untuk menyuarakan aspirasi rakyat dan untuk melihat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaksanakan sepenuhnya.

“Keputusan kepimpinan Bersatu Sabah untuk meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahan untuk kekal sebagai status quo,” katanya.

Di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim.

Tambahnya, beliau akan memastikan momentum dalam pertumbuhan dan pembangunan Sabah dan untuk melihat Sabah makmur sejajar dengan mandat yang diberikan kepada mereka dalam pilihan raya lalu.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Bersatu yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  belum menyatakan pendiriannya mengenai keputusan Bersatu Sabah itu.

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.