Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Imej satelit dedah depoh senjata nuklear Russia di Belarus

0

NEW YORK: Imej satelit mendedahkan kewujudan sebuah kubu di Belarus dilengkapi sistem pertahanan udara baharu, pusat pemeriksaan keselamatan tersendiri selain tiga lapisan pagar, yang disyaki depoh senjata nuklear dibangunkan Russia.

Sekiranya Russia memindahkan senjata ke lokasi itu, ia akan menjadi kali pertama negara berkenaan menyimpan senjata di luar negara sejak kejatuhan Kesatuan Soviet pada 1991.

Russia mempunyai kepala peledak nuklear di negaranya sendiri, berhampiran negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Ukraine.

Namun, Russia dilihat cuba untuk menonjolkan ancaman nuklear dan menguatkan benteng penghalang nuklearnya dengan meletakkan beberapa senjata di Belarus.

Presiden Russia, Vladimir Putin pada 2023, menegaskan negara itu akan segera menyiapkan pembinaan ‘fasiliti penyimpanan khas untuk senjata nuklear taktikal’ di Belarus.

Tapak ini dikatakan terletak 193 kilometer (km) ke utara Ukraine, di depoh tentera bersebelahan dengan bandar Asipovichy.

Beberapa struktur yang baru dibina di sana mempunyai ciri unik untuk kemudahan penyimpanan nuklear, contohnya dikelilingi tiga lapisan pagar, sebagai tambahan kepada sempadan keselamatan sedia ada di seluruh pangkalan.

Satu lagi petanda ialah tempat pemunggahan berbumbung yang disambungkan dengan kubu bawah tanah era Soviet yang tersembunyi.

Kedua-dua Kementerian Pertahanan Russia dan Belarus tidak menjawab permintaan untuk komen.

Sepanjang minggu lalu, Russia dan Belarus membuat kenyataan mengenai latihan senjata nuklear.

Isnin lalu, Russia berkata ia akan mengadakan latihan ketenteraan dengan tentera yang berpangkalan berhampiran Ukraine untuk melatih penggunaan senjata nuklear taktikal.

Menteri Pertahanan Belarus pada Selasa lalu, memberitahu media kerajaan bahawa pemeriksaan dimulakan ke atas pasukan Iskander dan sistem penghantaran senjata nuklear lain.

Pengubahsuaian itu konsisten dengan struktur yang dilihat di tapak simpanan nuklear bekas Soviet yang lain.

Sebuah fasiliti sama di Hungary mempunyai pintu masuk ke kubu bawah tanah lama yang ditutupi pokok, dengan sistem pertahanan udara turut dibawa masuk untuk melindungi tapak berkenaan.

Ia pada mulanya dikesan pada pertengahan 2023, melalui imejan satelit radar yang disediakan oleh syarikat angkasa lepas Umbra.

Sejak September lalu, salah satu kenderaan pertahanan udara ditempatkan di padang kira-kira satu km dari kubu.

Walaupun Perjanjian Tidak Membangunkan Senjata Nuklear 1970 melarang pemindahan senjata nuklear ke negara bukan nuklear, ia tidak melarang penempatan senjata nuklear di luar negara jika kawalan dikekalkan oleh negara yang memilikinya.

Di bawah aturan perkongsian nuklear NATO, Amerika Syarikat (AS) juga menempatkan senjata nuklear di beberapa negara anggota. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.