JAKARTA: Umat Islam di Indonesia berpeluang untuk mendaftar bagi memadamkan tatu secara percuma sebagai tanda bertaubat sempena bulan suci Ramadan, di bawah program anjuran Badan Nasional Amil Zakat.
Setakat ini, lebih 100 warga Indonesia mendaftar untuk prosedur memadamkan tatu yang dijalankan secara percuma oleh pertubuhan amal Islam itu sepanjang Ramadan tahun ini antara awal Mac hingga April.
Bima Abdul Sholeh, 32, duduk tenang ketika seorang doktor bersenjatakan penembak laser mula memadamkan tatu di wajahnya pada satu acara di Jakarta, yang diadakan bagi memberi peluang kepada umat Islam untuk bertaubat.
“Pada satu ketika saya terfikir, apa gunanya (gaya hidup kasar) ini? Tiada penghujungnya. Saya memutuskan untuk bertaubat,” kata Bima, ketika dia bersiap untuk solat di pangsapurinya selepas salah satu sesi pemadaman tatu.
Bima sedang memadamkan tatu dari badan dan mukanya selepas meninggalkan kehidupan lamanya, yang lebih suka beliau dirahsiakan.
Penyelaras acara itu, Raja Zamzami, berkata Ramadan adalah masa yang sesuai untuk program seumpamanya kerana kesedaran ibadah dalam kalangan umat Islam berada pada tahap tertinggi.
“Orang-orang ini menyedari mereka mahu bertaubat… meninggalkan gaya hidup dan kesilapan masa lalu mereka.
“Memadam tatu ini juga satu ibadah kepada Allah,” katanya mengenai program yang sudah memasuki tahun keempat penganjurannya.
Tatu dilarang dalam Islam kerana ia dikira sebagai mencacatkan kulit secara fizikal.
Walaupun ramai daripada 220 juta umat Islam Indonesia kebanyakannya berfahaman Sunni, mengamalkan bentuk Islam yang lebih sederhana, tatu masih dilihat sebagai sesuatu yang negatif kerana dikaitkan dengan gaya hidup jalanan yang kasar.
Kakitangan Badan Nasional Amil Zakat, Ibnu Tabrani berkata, pihaknya menyasarkan lebih 130 orang akan tampil mendapatkan perkhidmatan percuma pemadaman tatu itu.
“Bagi peserta hapus tatu 2024 di Kota Jakarta Barat sudah ada lebih kurang 100 orang mendaftar secara dalam talian dan baki kuota kami antara 20 hingga 30 orang dijangka datang terus menyertai program ini.
“Program hapus tatu ini mengambil tema ‘Ramadan Memerdekakan’ dan pihaknya berharap tema itu seiring dengan peserta yang ingin berhijrah.
“Tema ‘Ramadan Memerdekakan’ membawa makna ingin memerdekakan teman yang mahu berhijrah daripada kehidupan bartatu, untuk menghilangkan dosa-dosa yang mungkin pernah dibuat,” katanya. – AGENSI