Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kerajaan laksana projek AET untuk pekebun kecil getah – Junz

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) — Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata Malaysia sebagai pengeluar getah asli kelima terbesar di dunia, adalah antara negara-negara yang terjejas oleh kejatuhan harga komoditi ini. 

Beliau berkata Kerajaan sedar dan amat bersimpati dengan nasib para pekebun kecil getah di negeri Sabah dan juga di seluruh Malaysia.  

Walaubagaimanapun kejatuhan harga getah ini bukan sahaja berlaku di negara kita bahkan semua negara pengeluar getah dunia mengalami masalah yang sama, jelasnya.

Harga getah SMR 20 yang merupakan harga tanda aras (benchmark) getah antarabangsa, telah jatuh daripada RM13, 483 bagi setiap tan metrik pada tahun 2011 kepada RM9,525 per tan metrik pada tahun 2012 dan harga terus menjunam kepada RM5,436 bagi setiap tan metrik pada tahun 2018. 

Harga purata SMR 20 sehingga Ogos 2019 adalah hanya RM5,887 per tan metrik. 

Junz memberitahu bahawa antara punca utama kejatuhan harga getah pada ketika ini adalah disebabkan lambakan getah yang berada di pasaran antarabangsa di mana penawaran telah melebihi permintaan. 

Oleh kerana simpanan getah yang berlebihan di pasaran antarabangsa, harga getah telah menjunam disebabkan kekurangan keperluan daripada negara pengimport getah. 

Selain daripada itu, harga minyak mentah yang rendah juga telah mendorong kepada meningkatnya permintaan terhadap getah sintetik dan ini secara tidak langsung mengurangkan permintaan terhadap getah asli.

“Kerajaan amat prihatin terhadap keadaan para pekebun kecil getah di negeri ini yang terjejas pendapatan akibat keadaan harga getah yang rendah pada ketika ini,” kata Junz.

“Oleh itu Kerajaan telah memperkenalkan bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bertujuan untuk membantu pekebun kecil getah menangani impak kejatuhan harga getah ke atas pendapatan mereka.” Jelas Datuk Junz. 

IPG dibayar kepada pekebun kecil/penoreh getah yang menjual getah kepada LIGS apabila purata bulanan harga kentalan gred 2 di peringkat ladang adalah di bawah paras RM2.50 sen se kilogram. 

Bantuan ini adalah dari Kerajaan Persekutuan yang disalurkan kepada pekebun kecil melalui LIGS di mana apabila purata bulanan harga getah kentalan gred 2 di peringkat ladang berada di bawah paras RM2.50 sen se kilogram.  

Kadar insentif yang dibayar adalah merupakan perbezaan di antara purata bulanan harga getah sebenar di ladang dengan harga lantai yang ditetapkan pada kadar RM2.50 se kilogram.  Contohnya,  jika purata bulanan harga di ladang adalah RM2.00 se kilogram, maka kadar insentif yang akan dibayar adalah RM0.50 sen se kilogram (RM2.50–RM2.00 = RM0.50).

Junz memberitahu, sebagai langkah tambahan, Kerajaan melalui Lembaga Industri Getah Sabah telah melaksanakan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kepada para pekebun kecil getah. 

“Matlamat utama projek AET ini adalah untuk memberikan sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah.” Kata Menteri berkenaan.

Pada tahun 2018, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM3.0 juta untuk melaksanakan projek AET yang melibatkan 542 pekebun kecil getah di seluruh negeri bagi 3 jenis projek iaitu penanaman lada hitam, penanaman halia dan penternakan kelulut madu.

Manakala pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM4.485 juta untuk melaksanakan projek ini yang melibatkan 1,814 pekebun kecil getah di seluruh negeri bagi 4 jenis projek iaitu penanaman lada hitam, penanaman halia, penternakan kelulut madu dan penanaman buah-buahan (5 pokok durian musang king, 3 pokok dokong dan 2 rambutan).

Junz menyatakan, setiap peserta projek AET dijangka akan memperolehi tambahan pendapatan sekurang-kurangnya RM250 sebulan.

Bagi tahun 2020, Lembaga Industri Getah Sabah bercadang untuk meneruskan pelaksanaan projek AET dengan sasaran penglibatan 1,800 orang pekebun kecil getah lagi, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2020.

Junz memberitahu dalam keadaan pasaran semasa ini, para pekebun kecil Sabah digalakkan untuk menghasilkan hanya kentalan bersih supaya kualiti getah dari Sabah akan mempunyai daya saing tinggi di pasaran antarabangsa walaupun dalam pasaran yang tertekan. 

“Persoalan bilakah harga getah akan naik adalah bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia dan pengurangan stok tergantung di pasaran dunia.” Jelas Junz.

 262 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.