BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) yang merupakan pemenang terbesar dalam pilihan raya umum Thailand tahun ini, dilaporkan melantik pemimpin sementara untuk parti tersebut.
Pelantikan itu dibuat kira-kira seminggu selepas calon Perdana Menteri yang dihalang, Pita Limjaroenrat meletak jawatan sebagai ketua parti.
Setiausaha Agung MFP, Chaithawat Tulathon, 44, kini dilantik sebagai ketua parti.
Chaithawat merupakan lulusan kejuruteraan alam sekitar dan terlibat dalam gerakan politik progresif Thailand selama lebih daripada lima tahun, mengasaskan parti pendahulu MFP.
“Ini adalah lantikan sementara. Atas sebab undang-undang, Pita tidak boleh melaksanakan tugas ketua pembangkang dan menjadi Ahli Parlimen pada masa ini.
“Saya sanggup berundur sebaik sahaja Pita menyambung semula jawatan sebagai Ahli Parlimen di Parlimen,” kata Chaithawat.
Pada pilihan raya Mei lalu, pengundi Thailand kecewa dengan pemerintahan hampir sedekad oleh parti berkaitan tentera, menyokong MFP.
Namun, terdapat kebuntuan politik yang panjang kerana pihak konservatif menggagalkan usaha Pita untuk menjadi Perdana Menteri dan beliau digantung sebagai Ahli Parlimen.
MFP kini duduk di bangku pembangkang selepas parti Pheu Thai, dengan undian kedua tertinggi membentuk kerajaan campuran dengan beberapa parti pro-tentera dan hartawan, Srettha Thavisin dilantik sebagai Perdana Menteri.
Di bawah peraturan sedia ada, ketua pembangkang harus menjadi Ahli Parlimen.
Susulan itu, Pita akan mengambil peranan sebagai ketua penasihat parti.
Beliau juga berjanji mengembara ke seluruh negara dan bertemu dengan pihak berkepentingan antarabangsa sehingga boleh menyambung semula tugas sebagai Ahli Parlimen. – AFP