SENGKANG: Seorang pelajar sekolah tahfiz ditemukan tidak bernyawa di dalam longkang di hadapan Jabatan Pendidikan dan Kebudayaan Wajo, petang kelmarin.
Pelajar yang dikenali sebagai MA berusia 15 tahun itu bersekolah di Huffadz Masjid Jami dan sebelum ditemukan mati, dia dipercayai leka bermain Play Station bersama rakan-rakannya seharian suntuk.
Keesokan harinya, pelajar itu ditemukan meninggal dunia di dalam longkang.
Jurucakap polis, Bambang Purwanto berkata, keterangan beberapa saksi memberitahu mangsa bersama sembilan rakannya keluar dari asrama untuk bermain Play Station di sebuah kedai pada 25 Disember.
Ketiadaan mereka di sekolah menyebabkan pengasas pusat tahfiz berkenaan, Syahrul Hidayat segera mencari mereka sebelum mengetahui mereka leka bermain Play Station.
“Kesemua pelajar itu termasuk mangsa diketahui keluar dari asrama untuk bermain Play Station tanpa pengetahun guru mereka.
“Ketika ditemukan guru mereka, kesemua pelajar tersebut panik lalu melarikan diri untuk pulang ke asrama, namun mangsa disedari tiada dalam kumpulan tersebut.
“Keesokan harinya, pengurus asrama keluar mencari mangsa dan menemukannya sudah tidak bernyawa di dalam longkang, selain menemukan kesan luka pada siku kanan serta kepala,” kata Bambang.
Setakat ini, jenazah pelajar tersebut sudah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.