Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sabah harus serta membantu

PAKEJ RANGSANGAN TAMBAHAN PKS

0
PROF DR. Ir ROSALAM SARBATLY

PAKEJ Rangsangan Tambahan PKS sebanyak RM10 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan langkah yang baik bagi menyokong mengganda kesan pakej rangsangan prihatin berjumlah RM250 bilion kepada masyarakat tempatan.

Bagaimanapun, kejayaan pakej-pakej rangsangan ini amat bergantung kepada kementerian-kementerian dan badan-badan berkanun dan swasta selaku agen pelaksana. Perdana Menteri dan pihak kerajaan mesti berani mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai pelaksana yang gagal dalam usaha memastikan pakej dapat berjalan telus, lancar dan sampai dengan pantas bagi merangsang ekonomi negara. Di pihak PKS dan masyarakat, mereka juga perlu jujur dalam membantu memastikan pakej rangsangan ini berjaya.

Sabah pula perlu ikut serta dan diberi peruntukan sekurang-kurangnya 12.5% atau RM1.25 bilion daripada jumlah RM10 bilion pakej rangsangan PKS yang di umum PM jika berdasarkan peratusan jumlah populasi penduduk sekitar 4 juta berbanding 33 juta keseluruhan.

Ekonomi Malaysia dijangka akan cepat pulih sekiranya negara berjaya membendung wabak dengan baik. Data awal kawalan wabak virus corona menunjukkan Malaysia berada dilandaskan yang amat baik dengan jumlah kes baharu semakin berkurangan berbanding bilangan yang sembuh. Jumlah kes dijangkiti di Malaysia adalah 4,346, telah sembuh 1830 dan kematian 70 orang sehingga 10/04/2020.  Lanjutan Peraturan Kawalan Pergerakan sehingga 28/04/2020 amat perlu bagi memastikan usaha membendung serta pakej rangsangan ekonomi menjadi sia-sia sekiranya wabak meningkat semula.

Jangkaan perkembangan pantas ekonomi ini didorong oleh asas ekonomi Malaysia adalah sumber semula jadi yang melibatkan keperluan asas manusia seperti sektor perladangan, pertanian, perikanan, perhutanan,  selain industri minyak dan gas yang menjadi keperluan asas semua negara. Kekuatan ekonomi negara berada dalam sektor ini yang akan memastikan negara selamat dari krisis ekonomi disebabkan wabak virus corona.

Kerjasama antara kerajaan negeri-persekutuan amat perlu bagi memastikan pakej ini sampai kepada golongan sasar secara telus. Badan-badan kerajaan seperti Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian, badan-badan berkanun serta syarikat-syarikat berkaitan kerajaan merupakan agen penting bagi membantu dalam perlaksanaan pakej rangsangan PKS serta inovasi baharu perniagaan.

Memperkukuh ekonomi asas dengan teknologi moden khususnya IR4.0 akan menjadikan sumber kekuatan ekonomi Negara dapat dimaksimumkan. Seperti sedia maklum, import negara termasuk barangan pengguna sebelum ini bernilai sekitar RM 73 bilion in Dis 2019. Jumlah keseluruhan mencecah sekitar USD203b (RM849 bilion) tahun 2019. Jumlah import bahan asas makan sahaja melebihi RM50 bilion setahun pada 2019. Wabak virus corona telah menyebabkan imbangan import-eksport meningkat disebabkan penyusutan nilai import ketara berbanding nilai eksport.  Penyusutan import khususnya produk asas keperluan akan menyebabkan permintaan terhadap produk tempatan meningkat.

Adalah amat penting bagi PKS melakukan perubahan dalam strategi perniagaan. Ini terutamanya bagi PKS yang terlibat dalam industri pelancongan, penyedia makanan, pertanian, dan peruncitan sekiranya ingin kekal relevan dalam dunia perniagaan. Peniaga begini mesti beralih  segera kepada penggunaan aplikasi teknologi maklumat dan penggunaan teknologi revolusi industri 4.0 bagi tujuan menghasilkan dan memasarkan produk.

Memandangkan tempoh wabak ini tidak dapat dipastikan bila ia bakal berakhir, sektor-sektor perniagaan yang terjejas teruk adalah perhotelan, penyedia makanan, inap desa (homestay), pekebun kecil, dan penternak walid. Sektor ini amat penting khususnya di Sabah kerana telah memberi banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat. Sektor ini dijangka sukar pulih dalam tempoh singkat dan sedarhana bagi tempoh kurang setahun. Oleh itu, dalam perniagaan khususnya perhotelan dan inap desa yang melibatkan  pelancongan mesti berinovasi dan menceburi perniagaan baharu sebelum ia boleh berkembang semula setelah isu wabak virus corona berakhir.

Sektor-sektor perniagaan yang berpotensi berkembang pantas khususnya semasa dan selepas wabak adalah pertanian moden, teknologi maklumat, penjagaan kesihatan (pharmaceutical), pembuatan, peruncitan, pembungkusan, pengedaran/penghantaran dan perkhidmatan sokongan teknikal pembaikan peralatan atas talian. Sektor ini bakal berkembang lebih pesat jika disokong menerusi perniagaan atas talian dan teknologi moden khususnya bagi mengurangkan interaksi fizikal manusia. Sistem perniagaan atas talian tempatan akan menjadi perkara baharu yang menjadi kebiasaan masyarakat.

Pembangunan aplikasi perniagaan PKS perlu dilakukan segera menerusi pakej PKS kepada syarikat berkaitan bagi menyokong sektor berpotensi di atas khususnya bertujuan membendung isu i) kepercayaan masyarakat terhadap proses urusniaga, ii) membantu masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan menggunakan teknologi atas talian (peniaga/pelanggan) dan iii) membendung penipuan urusniaga atas talian menerusi platform bersama dan dipercayai.

Contoh perniagaan atas talian. Semasa bulan Ramadan, peniaga-peniaga kecil akan terjejas. Bolehlah wujudkan kerjasama dikalangan PKS bagi membangun ekosistem e-bazar. Ini merangkumi kerjasama antara pengeluar bahan mentah, pemprosesan produk (seperi kuih-muih dan lain-lain), agen penghantaran, dan pengendali pengurusan sistem e-bazar. Sistem ini juga boleh diteruskan kepada e-runcit dan lain-lain seperti e-makanan. Sistem ini hampir serupa dengan e-hailing.

Bagi membantu peniaga bazar, runcit, dan penyedia makanan agar tidak terbatas disebabkan oleh teknologi, inisiatif mewujudkan kerjasama syarikat secara bersama seperti koperasi (pengeluar-pemprosesan-pengedar-pengendali sistem pengurusan). Pembelian atas talian barang keperluan harian ini sudah lama berlaku di negara-negara maju (sistem telah sedia ada). Ianya boleh diubah untuk disesuaikan dengan corak perniagaan di Malaysia.

Bagi memudahkan pelanggan kurang mahir menggunakan aplikasi dalam urus niaga, aplikasi mudah capai mesti dibangunkan dengan pelbagai kaedah pembelian dengan kerjasama media-media sosial utama iaitu syarikat telko, TV, dan radio selain media sosial menggunakan telefon pintar seperti penggunaan e-wallet dsb.

Presiden Donald Trump juga sudah meminta kongres Amerika Syarikat meluluskan pakej pinjaman PKS sebanyak USD250 bilion. Ulasan ini adalah jawapan semasa ditemu bual di Indah Permai oleh pihak RTM Sabah. (Penulis adalah: Dr Rosalam Sarbatly.Profesor Kejuruteraan UMSPengerusi Penasihat Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah).

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.