Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Zelensky dijangka pecat 28 pegawai lagi

0

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dijangka memecat seramai 28 pegawai keselamatan lagi susulan rombakan terbesar kerajaannya sejak insiden pencerobohan Russia di negara itu.

Isu pemecatan itu berlaku sehari selepas pemimpin berkenaan memecat dua pegawai kanan atas dakwaan agensi keselamatan itu menyembunyikan pengkhianat.

Lapor Al Jazeera, Zelensky berkata, pihaknya sedang menjalankan `audit’ dalam kalangan pegawai Perkhidmatan Keselamatan Utama Ukraine (SBU).

Malah, tegas beliau, tindakan untuk memecat 28 pegawai lagi sedang diputuskan.

“Pemecatan ini membabitkan tahap dan bidang tumpuan yang berbeza namun puncanya adalah sama iaitu hasil kerja yang tidak memuaskan,” katanya dalam satu video disiarkan di televisyen.

Semalam, Zelensky memecat ketua pendakwa raya, Iryna Venediktova dan ketua keselamatan, Ivan Bakanov ketika kes pengkhianatan semakin tinggi dalam kalangan pegawai penguatkuasa undang-undang Ukraine.

Zelensky berkata, lebih 650 kes pengkhianatan pegawai keselamatan Ukraine disyaki membantu dan bersubahat dengan Russia sedang disiasat.

Jelasnya, jumlah itu termasuk 60 kes pegawai yang ditempatkan di wilayah dikepung Russia dan berkhidmat menentang Ukraine.

Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan tentera Russia terus melancarkan serangan bom di beberapa bandar di seluruh Ukraine.

Serangan sengit tercetus di Sumy di bahagian utara, penggunaan bom berangkai menyasarkan Mykolaiv dan serangan peluru berpandu di Odesa, di selatan negara itu.

Jurucakap pentadbiran wilayah, Oleksii Matsulevych berkata, serangan peluru berpandu dilancarkan Russia menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang cedera di Odesa dan beberapa rumah penduduk musnah.

Datuk Bandar Oleksandr Senkevich pula memaklumkan pasukan tentera Russia menyasarkan Mykolaiv dengan bom berangkai sehingga mencederakan dua orang serta merosakkan tingkat dan bumbung rumah penduduk.

Ketua pentadbiran tentera wilayah, Dmytro Zhyvytskyi menerusi Telegram memberitahu lebih 150 bom ditembak di wilayah Sumy.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.