Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

KUSKOP Perkukuh Peranan Agensi Kurangkan Birokrasi Pembiayaan — Ewon Benedick

0

KUALA LUMPUR, 8 Okt 2025 — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh fungsi agensi-agensinya sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi rakyat melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembiayaan yang lebih pantas, telus dan berkesan di bawah kepimpinan Datuk Ewon Benedick.

Langkah itu, menurut Ewon, sejajar dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang memberi tumpuan kepada pengurangan karenah birokrasi serta pemantapan penyampaian perkhidmatan kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“KUSKOP melalui agensi-agensinya bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi berperanan sebagai penggerak ekosistem ekonomi inklusif yang memastikan lebih ramai usahawan berupaya memulakan dan mengembangkan perniagaan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pertanyaan Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) mengenai penambahbaikan perkhidmatan permohonan geran dan pinjaman kepada usahawan Bumiputera, Ewon menjelaskan bahawa pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh agensi-agensi KUSKOP untuk mempercepatkan proses dan mengurangkan keperluan dokumen sokongan.

Sebagai contoh, TEKUN Nasional kini hanya memerlukan empat dokumen asas berbanding 17 dokumen sebelum ini, selain mempercepatkan kelulusan permohonan daripada 21 kepada 7 hari bekerja.

Sementara itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperkenalkan pendekatan lebih mesra pemohon dengan hanya memerlukan salinan MyKad, tanpa keperluan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan menyelesaikan permohonan lengkap dalam 16 hari bekerja.

Dalam memperkukuh keupayaan digital, SME Corp Malaysia telah membangunkan Sistem MyBPI (MSME Rating & Incentive Integrated System) bagi memudahkan usahawan belia mengakses serta menuntut program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) sepenuhnya secara dalam talian.

Ewon turut menegaskan bahawa agensi kewangan di bawah KUSKOP kini memainkan peranan penting dalam memperluas akses pembiayaan digital.
SME Bank, katanya, telah memperkenalkan proses permohonan atas talian dengan saluran komunikasi terus bagi tujuan khidmat nasihat dan bimbingan sepanjang proses tersebut.

“PERNAS membangunkan Sistem Pembiayaan E2E S3P untuk memastikan pengurusan dana lebih cekap dan telus, manakala Bank Rakyat memperkenalkan platform Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) yang memudahkan usahawan baharu mengakses produk pembiayaan dan perbankan secara digital,” jelas beliau.

Menurut Ewon, inisiatif menyeluruh itu menunjukkan KUSKOP bukan sekadar kementerian pemberi dana, tetapi institusi pemangkin ekonomi yang menyelaras sinergi antara dasar kerajaan dan keperluan sebenar usahawan di lapangan.

“Sehingga 31 Ogos 2025, sebanyak 64,179 usahawan Bumiputera baharu telah menerima pembiayaan berjumlah RM743.86 juta melalui agensi-agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, SME Corp, AIM, SME Bank, PERNAS dan Bank Rakyat,” katanya.

Ewon menambah, tumpuan KUSKOP di bawah pentadbiran beliau adalah untuk membina sistem sokongan keusahawanan yang lebih tangkas, inklusif dan berorientasikan hasil — bagi memastikan golongan usahawan Bumiputera serta belia menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.