Datuk Ewon Benedick: Gerakan Koperasi Tiang Sokongan Sosial Negara, SKM dan 7 Koperasi Hulur Bantuan RM152,100 kepada Mangsa Banjir Sabah
KOTA BELUD (Sabah, Malaysia), 3 Oktober 2025 — Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa gerakan koperasi bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi merupakan tiang sokongan sosial negara yang sentiasa terkehadapan ketika rakyat berdepan bencana.
Kenyataan itu dizahirkan beliau ketika menyempurnakan penyerahan bantuan kemanusiaan bernilai RM152,100 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama tujuh koperasi utama dari Wilayah Persekutuan, kepada mangsa banjir di Kadamaian dan Penampang.
Bantuan tersebut meliputi bakul makanan, pakaian sekolah, pam air, mesin pembersih bertekanan tinggi, kanvas, tangki air dan sampan, yang bukan sahaja meringankan beban mangsa, malah membantu mempercepat proses pemulihan infrastruktur komuniti yang lumpuh akibat banjir. Sebahagian daripada bantuan telah lebih awal disalurkan ke Penampang, manakala baki sumbangan disampaikan pada majlis rasmi di Dewan Tamu Desa Kg Sumbilingon.
“Keprihatinan SKM dan gerakan koperasi ini adalah bukti nyata bahawa koperasi tidak terbatas kepada kepentingan ahli semata-mata. Ia adalah entiti sosial yang mampu menjadi benteng ketika rakyat diuji dengan musibah. Saya berbangga kerana koperasi di Malaysia terus memperlihatkan semangat solidariti dan nilai kemanusiaan yang tulen,” tegas Datuk Ewon.
Beliau turut menekankan bahawa program CSR koperasi bersifat nasional, dilaksanakan di seluruh negara setiap kali bencana melanda, sekali gus melengkapkan usaha kerajaan dalam mengurus krisis kemanusiaan.
“Bantuan ini membuktikan bahawa koperasi adalah institusi yang melangkaui kepentingan ekonomi dalaman. Ia memberi manfaat langsung kepada masyarakat luas. Saya berharap semangat ini akan terus menjadi inspirasi kepada koperasi lain dan sektor swasta untuk menghulurkan kebaikan pada saat paling diperlukan,” tambahnya.
Antara koperasi yang bersama menjayakan inisiatif ini ialah Koperasi Ladang Berhad, Koperasi Kakitangan Petronas Berhad, Koperasi Generasi Felda Baru Berhad, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad, Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad, Koperasi Tenaga Nasional Berhad dan Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad.
Turut hadir menyaksikan majlis penyerahan bantuan itu ialah Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal, pegawai kanan SKM serta kepimpinan koperasi yang menyalurkan sumbangan.
Inisiatif ini meneguhkan lagi mesej bahawa gerakan koperasi, di bawah kepimpinan Datuk Ewon dan SKM, adalah satu ekosistem sosial-ekonomi yang relevan, dinamik dan berakar kuat dalam nilai solidariti kemanusiaan. – Oleh Rosanna Edeza