LVIV: Poland mengerahkan pesawat tenteranya, awal pagi semalam, bagi memastikan keselamatan ruang udara negara itu susulan tindakan Russia melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Ukraine.
Serangan itu menyebabkan peluru berpandu dan dron menghujani wilayah Lviv berhampiran sempadan Poland.
“Pesawat Poland dan sekutu sedang beroperasi di ruang udara kami, manakala sistem pertahanan udara dan pengawasan radar darat diletakkan pada tahap kesiapsiagaan tertinggi,” kata pihak perintah operasi negara itu dalam satu hantaran di platform X.
Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bahagian timur kini berada dalam keadaan berjaga-jaga selepas Poland menembak jatuh dron yang disyaki milik Russia dalam ruang udaranya September lalu.
Beberapa kes pencerobohan udara dan pengesanan dron termasuk di Copenhagen serta Munich turut mencetuskan kekacauan dalam sistem penerbangan Eropah.
Lapangan Terbang Vilnius di Lithuania ditutup selama beberapa jam Sabtu lalu selepas terdapat laporan mengenai kemungkinan deretan belon menuju ke arah lapangan terbang berkenaan.
Tiada sebarang notis segera dikeluarkan di laman Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) berhubung gangguan penerbangan di Rzeszow dan Lublin.
Perjalanan menggunakan kereta sewa merentasi sempadan tidak dibenarkan, namun individu dan syarikat masih boleh menempah perkhidmatan pemandu peribadi untuk berulang-alik antara kedua-dua negara.
Namun, ia kini menjadi semakin sukar selepas penguatkuasaan diperketat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Seluruh Ukraine berada di bawah amaran serangan udara dengan Tentera Udara Ukraine mengeluarkan amaran paling serius mengenai serangan peluru berpandu dan dron di wilayah Lviv.
Datuk Bandar Lviv, Andriy Sadovyi, berkata sistem pertahanan udara bandar itu yang terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari sempadan Poland sedang giat menangkis serangan dron dan peluru berpandu Russia.
Setakat jam 7.30 pagi waktu tempatan, sebahagian kawasan bandar itu terputus bekalan elektrik dan pengangkutan awam masih belum beroperasi.
Sadovyi turut memberi amaran melalui aplikasi Telegram bahawa adalah berbahaya untuk keluar ke jalan.
Saksi Reuters melaporkan bunyi kuat dari semua arah dipercayai datang daripada sistem pertahanan udara yang sedang beroperasi.
Gabenor wilayah, Ivan Fedorov, berkata serangan Sabtu lalu di bandar Zaporizhzhia, mengorbankan nyawa seorang mangsa dan mencederakan sembilan lagi.
Anggota bomba memadam kebakaran sebuah van di halaman belakang rumah kediaman yang rosak akibat serangan dron dan peluru berpandu Rusia pada waktu pagi, ketika serangan Rusia terhadap Ukraine, di wilayah Lviv, Ukraine. – Foto REUTERS
“Bangunan pangsapuri dan rumah persendirian rosak, kereta terbakar. Tingkap pecah serta halaman musnah,” katanya.
Tambahnya, lebih daripada 73,000 pelanggan di wilayah tenggara itu terputus bekalan elektrik.
Kira-kira 55km ke barat daya bandar Zaporizhzhia, Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia yang kini dikuasai Russia terputus daripada bekalan tenaga luar sejak 23 September lalu.
Minggu lalu, Ketua agensi pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IAEA) menggesa Ukraine dan Russia menunjukkan ‘kesungguhan politik’ untuk memastikan keselamatan kawasan sekitar loji itu.
Ia adalah loji nuklear terbesar di Eropah yang dirampas oleh tentera Russia pada peringkat awal pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Setakat ini, Russia belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung serangan Sabtu lalu.
Kedua-dua pihak terus melancarkan serangan udara sepanjang perang bagi memusnahkan infrastruktur penting yang dianggap strategik untuk usaha peperangan mereka, termasuk kemudahan tenaga dan pengangkutan. – REUTERS