GAZA: Hamas semalam menyatakan kesediaannya untuk berbincang mengenai pembebasan tebusan ditahan di Gaza, di bawah kerangka pelan gencatan senjata terkini dipelopori Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia sekali gus mendorong Trump menggesa Israel agar menghentikan serta-merta pengeboman ke atas wilayah Palestin itu.
Susulan respons kumpulan pejuang Palestin itu, Trump memuji kenyataan Hamas sebagai tanda komitmen terhadap keamanan berkekalan.
Bagaimanapun, Hamas tidak menyebut soal pelucutan senjata mereka yang menjadi elemen utama dalam cadangan Trump.
Hamas menegaskan mereka harus mempunyai peranan dalam menentukan masa depan wilayah Palestin.
“Kami mengumumkan persetujuan untuk membebaskan semua tebusan yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, mengikut formula pertukaran yang terkandung dalam cadangan Presiden Trump,” katanya dalam satu kenyataan sambil menegaskan kesediaan mereka untuk membincangkan butiran lanjut.
Sebelum ini, Trump menetapkan Ahad sebagai tarikh akhir bagi Hamas menerima cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan, lapor Anadolu Ajansi.
Sejurus pengumuman itu, pegawai kanan Hamas, Mahmoud Mardawi, memberitahu AFP bahawa kumpulan itu menyambut baik cadangan Trump tetapi menyifatkannya sebagai kabur.
“Kami perlukan penjelasan dan pengesahan melalui perjanjian rundingan,” katanya.
Mengenai pelan keamanan di Gaza yang dipelopori Trump dan disokong Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ia merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan dalam tempoh 72 jam, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat rejim Zionis dari wilayah Palestin itu.
Setakat semalam, Israel terus menggila apabila melancarkan pengeboman udara dan tembakan artileri besar-besaran di bandar Gaza. Serangan itu membunuh sekurang-kurangnya 11 orang di seluruh wilayah, termasuk lapan di bandar Gaza. — AFP