TUARAN, Sabah, 4 Jan 2026 — Tradisi penganjuran rumah terbuka sempena perayaan keagamaan dan kebudayaan terus menjadi platform berkesan dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, pada Sabtu.
Ewon, yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata pendekatan berterusan UPKO menganjurkan rumah terbuka mencerminkan komitmen parti itu dalam memelihara keharmonian sosial serta memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“UPKO secara konsisten menganjurkan rumah terbuka sempena pelbagai perayaan utama termasuk Krismas, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan, selaras dengan realiti kepelbagaian masyarakat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 UPKO di Dewan Seri Sulaman, di sini.
Menurut Ewon, sambutan Krismas kali ini diadakan di Tuaran dan dihoskan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Presiden Kehormat UPKO yang juga wakil rakyat kawasan Tuaran dan Tamparuli.
Beliau berkata, penganjuran rumah terbuka UPKO dilaksanakan secara bergilir di seluruh bahagian negeri bagi memberi ruang kepada rakyat pelbagai latar belakang untuk berinteraksi dalam suasana aman dan inklusif.
“Melalui platform seperti ini, mesej perpaduan, keharmonian serta kepentingan kerjasama antara masyarakat dapat disampaikan secara langsung, khususnya dalam usaha memajukan Sabah,” katanya.
Ewon turut memaklumkan bahawa kehadiran pemimpin pelbagai parti politik serta pimpinan gereja pada majlis berkenaan mencerminkan tahap toleransi dan keharmonian antara agama yang telah lama menjadi ciri masyarakat Sabah.
Beliau berkata UPKO menghargai sokongan semua pihak dan berharap amalan penganjuran rumah terbuka dapat terus menjadi medium memperkukuh perpaduan rakyat negeri itu.
Ewon berkata, pada keesokan harinya beliau akan menghoskan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu bagi kawasan Kadamaian di Kadamaian Square, Taginambur, Kota Belud, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan kebersamaan rakyat selepas pilihan raya.
Sebelum itu, Ewon bersama Datuk Donald Peter Mojuntin turut menganjurkan majlis rumah terbuka masing-masing selaku Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog, kelmarin.
![]()