Oleh Mohd Khairy Abdullah
KOTA KINABALU, 31 Dis 2025 — Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan melancarkan Program Latihan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) khusus untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Sabah pada awal tahun 2026, sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan ekonomi negeri dalam era digital.
Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pelaksanaan program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas penguasaan teknologi AI dalam kalangan usahawan PMKS, khususnya dalam meningkatkan kecekapan operasi, kualiti pembuatan keputusan serta daya saing perniagaan dalam pasaran yang semakin berasaskan data dan automasi.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MINDET dan Pepper Labs, susulan pertemuan beliau bersama delegasi syarikat itu yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Thanaselan Rajendran.
“Saya menghargai cadangan kerjasama strategik antara Pepper Labs dan MINDET Sabah bagi menjayakan Program AI untuk usahawan PMKS Sabah.
“Inisiatif ini akan dilancarkan pada awal tahun depan supaya usahawan kita dapat membudayakan pengamalan AI dalam pengurusan, perancangan dan operasi perusahaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pepper Labs di pejabatnya di Wisma Kewangan, di sini, hari ini.
Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pepper Labs kerana memilih Parlimen Penampang sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif perusahaan sosial yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan inklusif di peringkat akar umbi.
“Saya akan terus memberi tumpuan besar kepada pembangunan usahawan PMKS di Sabah, termasuk usahawan perusahaan sosial (Social Enterprise, SE) dan perniagaan inklusif (Inclusive Business, IB), sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan ekonomi negeri yang mampan dan inklusif,” katanya.
![]()