Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UMS Siap Sedia Sambut 5,123 Pelajar Baharu Sesi 2025/2026

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 25 Sept 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengumumkan kesiapannya menerima kemasukan seramai 5,123 pelajar baharu bagi sesi akademik 2025/2026, dengan proses pendaftaran dijadual berlangsung pada 27 dan 28 September ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj. Mansor, berkata pelbagai persiapan rapi telah dijalankan bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran serta pelaksanaan Minggu Suai Mesra (MSM) yang akan berterusan sehingga 1 Oktober.

“Saya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu UMS. Kami berusaha memastikan proses pendaftaran berjalan lancar, di samping membantu pelajar menyesuaikan diri dengan suasana kampus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau turut mengingatkan para pelajar, ahli keluarga dan penjaga supaya mematuhi arahan petugas lalu lintas semasa ketibaan di kampus, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan perjalanan masuk lebih teratur.

Bagi melicinkan urusan pendaftaran, UMS menugaskan pasukan urus setia, sukarelawan serta Pembimbing Suai Mesra (PSM) untuk membantu para pelajar dari hari pertama hingga selesai MSM.

“UMS sentiasa menitikberatkan kebajikan pelajar melalui kemudahan sokongan akademik dan bukan akademik yang disediakan, bagi memastikan pengalaman pembelajaran serta kehidupan kampus yang kondusif,” tambah Dr. Kasim.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.