Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Unit kaunseling sekolah perlu direformasi ketika tekanan mental pelajar meningkat

0
DR. PETER

Oleh Mohd Khairy Abdullah

KOTA KINABALU, 6 Okt 2026 — Malaysia perlu melakukan rombakan menyeluruh terhadap sistem bimbingan dan kaunseling di sekolah menengah, termasuk mengurangkan nisbah kaunselor kepada murid dan membebaskan kaunselor daripada tugas bukan hakiki, kata Dr. Peter Jr Naintin. yang bercakap sebagai seorang bapa.

Naintin yang berpengalaman sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Cecilia dari 2018 hingga 2024 dan kini d SM Sung Siew Sandakan sejak tahun 2022 hingga 2026 mengungkai isu ini berdasarkan pengalaman.

Seruan itu dibuat ketika kebimbangan terhadap kesihatan mental remaja, keselamatan pelajar dan beberapa kematian yang dilaporkan berlaku di sekolah serta asrama semakin menekan sistem pendidikan untuk menilai sama ada mekanisme pencegahan sedia ada benar-benar berfungsi.

Naintin berkata Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) tidak lagi boleh dilihat sebagai fungsi sokongan sampingan dalam sistem persekolahan, sebaliknya perlu ditempatkan sebagai sebahagian daripada infrastruktur utama keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

“Ini bukan cadangan untuk menambah birokrasi, tetapi satu keperluan mendesak demi masa depan anak-anak kita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 menunjukkan 922,318 atau 16.5 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, meningkat daripada 7.9 peratus pada 2019.

Angka itu, katanya, bermakna kira-kira seorang daripada enam kanak-kanak kini berdepan cabaran kesihatan mental.

Data NHMS 2022 pula menunjukkan peningkatan pemikiran bunuh diri dalam kalangan remaja kepada 13.1 peratus berbanding 7.9 peratus pada 2012, dengan kadar lebih tinggi dalam kalangan remaja perempuan.

Naintin berkata perkembangan itu seharusnya memaksa kerajaan melihat semula kapasiti sistem sekolah untuk mengenal pasti dan menangani masalah pada peringkat awal, bukannya hanya bertindak selepas berlaku krisis.

Antara persoalan paling kritikal ialah nisbah Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) kepada murid yang kini sekitar 1:500.

Naintin mempersoalkan keberkesanan nisbah itu ketika sesi kaunseling memerlukan masa, kepercayaan dan kesinambungan untuk membolehkan seorang pelajar berani mendedahkan masalah yang dihadapinya.

“Bagaimana seorang kaunselor boleh memberikan perhatian yang mendalam kepada 500 murid, sedangkan satu sesi kaunseling yang berkesan memerlukan masa, kepercayaan dan kesinambungan?” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, sebelum ini turut mencadangkan supaya nisbah itu dikurangkan kepada 1:350, manakala American School Counselor Association (ASCA) menetapkan 1:250 sebagai sasaran ideal.

Bagi Naintin, persoalannya bukan sekadar angka.

“Nisbah ini bukan sekadar nombor. Ia menentukan sama ada anak kita mendapat bantuan yang diperlukan, atau hanya sekadar dilabel dan diabaikan,” katanya.

Naintin turut memberi tumpuan kepada beban kerja GBK yang menurutnya telah menghakis fungsi sebenar kaunseling di sekolah.

Beliau berkata kajian akademik menunjukkan beban kerja berlebihan dan tugasan di luar bidang kaunseling boleh menyebabkan keletihan emosi, penurunan motivasi serta konflik peranan dalam kalangan GBK.

Dalam pengalaman beliau sebagai Yang Dipertua PIBG, katanya, kaunselor turut dipanggil untuk mengurus program sekolah, menggantikan kelas guru yang tidak hadir dan menyelia aktiviti kokurikulum.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan masa yang sepatutnya digunakan untuk mengenal pasti dan membantu pelajar berisiko menjadi semakin terhad.

“Adalah tidak adil untuk mengharapkan GBK menjadi penyelesai semua masalah sosial sekolah tanpa memberikan mereka ruang dan sumber yang mencukupi,” katanya.

Naintin berkata sekurang-kurangnya tujuh kematian pelajar dilaporkan berlaku di sekolah dan asrama di seluruh Malaysia antara Julai 2025 hingga Oktober 2026, sambil menegaskan bahawa senarai itu bukan statistik rasmi dan tidak boleh digunakan untuk membuat kesimpulan mengenai punca kematian.

Beliau berkata setiap kes perlu disiasat berdasarkan fakta dan tidak wajar semua kematian dikaitkan secara automatik dengan buli.

Namun, katanya, kewujudan kes-kes berkenaan cukup untuk mencetuskan persoalan lebih besar mengenai keberkesanan sistem perlindungan pelajar.

“Sekolah dan asrama sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk murid belajar dan membesar,” katanya.

Menurut beliau, isu keselamatan pelajar tidak boleh dilihat semata-mata melalui aspek kawalan fizikal atau disiplin.

Sekolah juga perlu mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti tanda awal tekanan emosi, kemurungan, buli, trauma dan masalah kesihatan mental sebelum keadaan berkembang menjadi krisis.

Naintin mencadangkan enam langkah utama bagi memperkukuh UBK, termasuk meningkatkan bilangan GBK sepenuh masa secara berperingkat untuk mencapai nisbah 1:250 dalam tempoh lima tahun.

Beliau turut mencadangkan supaya tugas pentadbiran, pengkeranian dan menggantikan kelas dipisahkan daripada tanggungjawab GBK.

GBK juga perlu menerima latihan profesional berterusan dalam kesihatan mental remaja, intervensi trauma, kaunseling krisis dan pendekatan berasaskan bukti seperti Terapi Kognitif Tingkah Laku (CBT), katanya.

Pada masa sama, modul bimbingan kerjaya perlu dikemas kini bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), ekonomi digital serta kemahiran abad ke-21.

Beliau turut mahu PIBG dan komuniti diberikan peranan lebih besar sebagai penghubung antara sekolah, keluarga dan perkhidmatan kesihatan awam.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), katanya, perlu mewujudkan sistem pemantauan yang menilai keberkesanan perkhidmatan UBK berdasarkan hasil intervensi dan bukan semata-mata jumlah program yang dilaksanakan.

Naintin berkata reformasi itu penting kerana masalah pelajar tidak berakhir apabila mereka meninggalkan sekolah.

Beliau merujuk data berkaitan lepasan SPM yang tidak meneruskan pendidikan serta risiko yang mungkin dihadapi golongan muda yang terputus daripada laluan pendidikan dan pekerjaan.

Sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital, beliau berkata, beliau melihat sendiri kesan jangka panjang apabila masalah golongan muda gagal dikenal pasti dan ditangani lebih awal.

“Bilik kecemasan tidak sepatutnya menjadi tempat pertama sistem mengetahui bahawa seorang anak sedang menghadapi masalah,” katanya.

Beliau menyeru KPM, NUTP, PIBG, profesional kesihatan mental dan pemegang taruh lain supaya menjadikan Agenda Reformasi UBK sebagai keutamaan nasional.

Cabaran sebenar, katanya, bukan sekadar menambah bilangan kaunselor, tetapi membina sebuah sistem sekolah yang mampu mengenal pasti penderitaan pelajar lebih awal, menyediakan intervensi yang sesuai dan memastikan tiada anak terpaksa berjuang sendirian sebelum bantuan tiba.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.