
Oleh Mohd Khairy Abdullah
Editor-in-Residence
Pensiangan, Sabah
SOOK (Sabah), 7 Nov 2026 — Kontraktor yang gagal menyiapkan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Sook mengikut skop kerja yang ditetapkan berdepan cadangan untuk disenarai hitam, susulan penemuan beberapa kemudahan asas rumah penerima yang masih belum disiapkan, kata ADUN Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Arthur berkata, kelemahan itu dikenal pasti ketika beliau mengadakan pertemuan dengan penerima rumah berkenaan, termasuk bekalan elektrik yang belum dipasang, ketiadaan meter elektrik di sesetengah rumah serta kerja kemasan lantai yang masih belum diselesaikan.
Beliau menegaskan bahawa semua perkara tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kontraktor dan sepatutnya disempurnakan sebelum bayaran dibuat.
“Saya tidak bersetuju apabila kontraktor menerima bayaran sebelum kerja disiapkan sepenuhnya, kemudian melepaskan tangan daripada tanggungjawab mereka,” katanya.
Arthur berkata, beliau akan mengemukakan cadangan kepada Pejabat Daerah supaya kontraktor yang gagal memenuhi skop kerja dan meninggalkan projek dalam keadaan tidak lengkap selepas menerima bayaran dipertimbangkan untuk disenarai hitam.
Beliau turut menegaskan bahawa pemantauan projek perumahan kerajaan perlu diperketat bagi mengelakkan masalah sama berulang, selain memastikan setiap rumah diserahkan dengan kemudahan yang lengkap dan sedia untuk diduduki.
Beliau berkata demikian selepas penyerahan simbolik 40 unit rumah SMJ di Sook. Rumah berkenaan disiapkan pada tahun lalu, namun hanya dapat diserahkan secara rasmi tahun ini berikutan urusan pentadbiran dan pengurusan.
Arthur berkata, penerima bantuan perumahan terdiri daripada golongan yang memerlukan perhatian serius. Justeru, kejayaan projek kerajaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan sasaran pembinaan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira mutu kerja dan penyempurnaan kemudahan yang dijanjikan.
“Penerima ini semua terdiri daripada golongan yang susah, maka tidak wajar mereka diperlakukan sedemikian. Sebagai wakil rakyat, kita diamanahkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri untuk memastikan projek ini sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Beliau berkata, matlamat bantuan perumahan kerajaan adalah untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan, sekali gus menjaga kesejahteraan masyarakat.
“Kita mahu membantu mereka yang benar-benar memerlukan supaya masyarakat kita terus hidup dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.
![]()