Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

MINDET bangunkan pelan hala tuju 2026-2030 perkasa industri hiliran minyak dan gas Sabah

0

KOTA KINABALU, 21 Julai 2026 —  Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan membangunkan pelan hala tuju (roadmap) 2026-2030 bagi memperkukuh pembangunan industri hiliran minyak dan gas di Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata pelan itu merupakan antara resolusi utama Persidangan Sabah Oil and Gas Services and Equipment (SOGSE) yang dianjurkan kementerian pada bulan lalu, dengan matlamat memperluaskan aktiviti hiliran bagi meningkatkan nilai tambah sumber petroleum negeri.

“Saya akan membentangkan cadangan roadmap ini kepada Kabinet Negeri dan, selepas mendapat mandat Kabinet, saya berharap dapat membawanya semula ke Persidangan Dewan Undangan Negeri yang akan datang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Selasa.

Sementara itu, MINDET turut mengkaji lokasi alternatif bagi pembangunan taman perindustrian baharu selepas cadangan membangunkan taman perindustrian di Kimanis tidak diteruskan berikutan kos pengambilan tanah yang tinggi.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum, berkata penilaian awal yang dilaksanakan bersama Jabatan Tanah dan Ukur Sabah mendapati lebih 1,500 pemilik geran tanah akan terlibat sekiranya projek itu diteruskan di lokasi asal.

Menurut beliau, keadaan itu akan membawa implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan negeri, termasuk kos pengambilan tanah dan kemungkinan kos pemindahan penduduk.

“Jemaah Menteri pada Februari 2025 telah memutuskan supaya cadangan pembangunan taman perindustrian baharu di lokasi yang dikenal pasti di Kimanis tidak diteruskan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Pantai Manis, Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.

Bagaimanapun, Jonnybone menegaskan keputusan itu tidak menjejaskan agenda perindustrian Sabah, sebaliknya kerajaan sedang menilai Beaufort sebagai lokasi alternatif yang lebih berdaya maju.

Beliau berkata Beaufort mempunyai kedudukan strategik serta dijangka memerlukan pengambilan tanah yang lebih kecil berbanding Kimanis, sekali gus berpotensi mengurangkan kos pembangunan dan mempercepat pelaksanaan projek.

Katanya, kementerian kini menyelaras penilaian bersama agensi berkaitan bagi meneliti kesesuaian kawasan tersebut, termasuk aspek kos pengambilan tanah dan daya maju pembangunan.

“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan taman perindustrian dilaksanakan secara strategik, mampan dan memberikan pulangan ekonomi yang optimum kepada negeri, di samping meminimumkan impak terhadap penduduk setempat,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.