Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 6 Oktober 2025 — Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini mengumumkan pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, sekali gus menandakan bermulanya perjalanan politik baharu menuju Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) yang bakal menentukan masa depan kepimpinan dan hala tuju pembangunan negeri itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pengumuman penting itu dibuat selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Sabah bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan Negeri di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, sebentar tadi.
Menurut Hajiji, beliau telah menghadap Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah, di Istana Seri Kinabalu pagi tadi untuk menasihati pembubaran DUN setelah tamat tempoh penggal lima tahun kerajaan negeri.
“Dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin, 6 Oktober 2025. Ini memberi laluan kepada PRN-17 Sabah dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negeri ini. Keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan Sabah terhadap prinsip demokrasi dan proses perlembagaan,” kata Hajiji.
Mengimbas kembali prestasi pentadbiran sejak 2020, Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah meletakkan asas transformasi pembangunan holistik dan inklusif berlandaskan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan SMJ menjadi panduan utama dalam menstruktur semula pembangunan negeri berdasarkan tiga tonggak strategik – Pertanian, Industri dan Pelancongan; Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat; serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau,” jelasnya.
Beliau menambah, pelaksanaan pelan itu telah membawa kemajuan nyata dalam ekonomi, infrastruktur dan kebajikan sosial rakyat Sabah, selain memperkukuh daya tahan negeri terhadap cabaran ekonomi global dan persekitaran geopolitik serantau yang dinamik.
Hajiji turut mengakui bahawa pentadbiran beliau tidak pernah mengelak daripada berdepan isu warisan lama, termasuk masalah bekalan air, tenaga elektrik dan infrastruktur asas yang telah lama membelenggu kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan telah mengambil langkah berani dan bertanggungjawab dengan memulakan beberapa projek besar bagi menangani isu ini. Ada yang telah disiapkan, manakala selebihnya sedang berada dalam fasa pelaksanaan,” katanya.
Dalam tempoh lima tahun, Sabah juga berjaya menarik pelaburan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan, serta memperkasa sektor pendidikan dan bantuan sosial sebagai bukti keberkesanan hala tuju pembangunan yang telah digariskan di bawah dasar SMJ.
Walau mengakui masih banyak cabaran menanti, Hajiji menegaskan bahawa agenda pembaharuan Sabah tidak boleh dihentikan separuh jalan. Justeru, beliau menyeru rakyat memberi mandat baharu kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha pembinaan negeri secara berterusan.
“Cabaran baharu menuntut penyelesaian yang berani. Dengan pembubaran ini, kami memohon mandat baharu untuk membawa Sabah ke tahap yang lebih kukuh, makmur dan bersatu,” tegas beliau.