
Oleh Rosanna Edeza
PENSIANGAN (Sabah, Malaysia), 27 September 2025 – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Pensiangan hari ini tampil dengan pendirian tegas apabila mesyuarat bahagiannya sebulat suara meluluskan resolusi menuntut tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu ditandingi atas tiket UPKO (Pakatan Harapan) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Ketua Bahagian UPKO Pensiangan, Jubilin Kilan, menegaskan bahawa keputusan tersebut bukan sekadar strategi politik, sebaliknya mencerminkan aspirasi masyarakat KadazanDusun dan Murut (KDM) yang mendominasi demografi di kawasan berkenaan.
“Pendiriaan saya jelas – kerusi Sook, Nabawan dan Tulid mesti menjadi milik UPKO. Aspirasi rakyat menghendaki UPKO tampil sebagai suara dan wakil utama mereka,” katanya penuh keyakinan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu.
Jubilin, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UPKO Malaysia, menegaskan sudah tiba waktunya masyarakat KDM di Pensiangan diberikan wakil dari UPKO secara langsung.
Mesyuarat turut menamakan calon untuk ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan:
- N.45 Sook – Mohd Khairy Abdullah @ Henry, Ketua UPKO CLC Sook.
- N.44 Tulid – Mohd Khairil Abdullah, Ketua UPKO CLC Tulid.
- N.46 Nabawan – Jubilin Kilan, Ketua Bahagian UPKO Pensiangan dan AMT UPKO Malaysia.
Selain itu, tiga lagi nama tambahan turut dikemukakan khusus bagi DUN Nabawan dan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk pertimbangan senarai pendek.
“Sebagai Ketua Bahagian dan AMT, tanggungjawab saya adalah memastikan suara rakyat sampai kepada pucuk pimpinan. Permintaan ini bukan desakan peribadi, tetapi mandat yang lahir daripada denyut nadi rakyat. Mereka mahukan UPKO, dan tugas saya ialah memperjuangkannya,” tegas Jubilin.
Mengenai keputusan mencalonkan tiga nama di Nabawan, beliau menjelaskan ia adalah refleksi aspirasi akar umbi, namun menegaskan bahawa masyarakat setempat secara keseluruhan merestui beliau sebagai calon paling sesuai.
“Bagi Sook dan Tulid, kesepakatan telah dicapai dengan hanya seorang calon dipersetujui sebulat suara. Keputusan ini membuktikan kematangan politik rakyat di kawasan tersebut,” tambahnya.
Pemerhati politik tempatan pula berpandangan bahawa walaupun Nabawan mengemukakan tiga calon, sokongan akar umbi nyata memihak kepada Jubilin, menjadikannya pilihan paling berpotensi untuk membawa kemenangan kepada UPKO di kerusi strategik itu.
![]()