Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Israel terus serang Gaza, 6 maut ketika Hamas sedia capai ‘perdamaian berkekalan’

0

GAZA: Israel terus melancarkan serangan ke atas Gaza hari ini, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa pengeboman dihentikan dan memaklumkan bahawa Hamas bersedia berdamai.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan dalam serangan terbaharu itu, enam penduduk dilaporkan terbunuh membabitkan empat yang diserang di Bandar Gaza, manakala dua lagi di Khan Younis.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negara itu bersiap sedia melaksanakan fasa pertama pelan Trump bagi pembebasan tebusan Israel selepas menerima maklum balas Hamas.

Media Israel melaporkan, kerajaan sudah mengarahkan tentera mengurangkan operasi di Gaza, namun Ketua Turus Tentera hanya menyatakan supaya pasukan bersiap sedia bagi pelaksanaan pelan Trump tanpa mengesahkan pengurangan serangan.

Hamas sebelum itu membalas pelan 20 perkara yang dikemukakan Trump, selepas diberi tempoh hingga Ahad untuk menerima atau berdepan tindakan berat.

Trump yang menampilkan diri sebagai tokoh mampu membawa keamanan di Gaza, dilapor melabur usaha besar menamatkan perang dua tahun yang meragut puluhan ribu nyawa dan mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataannya semalam, Trump berkata Hamas menunjukkan kesediaan ke arah “perdamaian berkekalan” dan mendesak Israel menghentikan serangan.

“Israel mesti segera hentikan pengeboman Gaza supaya tebusan dapat dibebaskan dengan selamat.

“Kami sedang berbincang mengenai butiran lanjut. Ini bukan hanya mengenai Gaza, tetapi soal keamanan di Timur Tengah,” katanya dalam platform Truth Social.

Pejabat Netanyahu menegaskan Israel akan terus bekerjasama dengan Trump untuk menamatkan perang mengikut prinsip yang selaras dengan visi presiden AS itu.

Sebelum ini, keluarga tebusan menggesa Netanyahu segera memulakan rundingan bagi membawa pulang semua tahanan.

Netanyahu kini ditekan antara desakan rakyat yang mahu perang ditamatkan dan tuntutan keras parti gabungan sayap kanan yang menolak sebarang pengunduran tentera dari Gaza – REUTERS

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.