Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Rahman Dahlan Seru Kerajaan Sabah dan Persekutuan Perkukuh Kerjasama Bangunkan UMS

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 26 Sept 2025 – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, menegaskan keperluan mendesak untuk Kerajaan Negeri Sabah berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh kelestarian institusi pendidikan tinggi itu, khususnya ketika universiti awam seluruh negara berdepan tekanan kewangan yang semakin meruncing.

Menurut beliau, lebih 60 peratus pelajar UMS merupakan anak-anak Sabah, justeru sebarang kelewatan mencari penyelesaian akan memberi kesan langsung kepada pembangunan modal insan negeri ini.

“Saya faham universiti awam berada di bawah tanggungjawab Persekutuan. Namun, kita tidak boleh sekadar berdiam diri apabila cabaran kewangan semakin menekan. Kerajaan Negeri harus tampil, sekurang-kurangnya dengan membuka ruang baharu untuk penjanaan pendapatan universiti,” katanya ketika berucap pada Program Karisma Pemikir Madani Kepimpinan Tertinggi Universiti di Kota Kinabalu, Khamis.

Rahman mencadangkan agar UMS diberi mandat mengurus perniagaan berskala rendah risiko, seperti pengedaran gas yang telah memiliki pasaran mapan, bagi memastikan aliran kewangan baharu yang berdaya tahan tanpa menambah beban kerajaan.

Beliau turut mengesyorkan agar sebahagian kecil daripada projek mega Kerajaan Negeri bernilai antara RM30 hingga RM40 bilion disalurkan melalui anak syarikat universiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan UMS terhadap dana operasi tahunan semata-mata.

Bagi memperkukuh daya saing, Rahman turut menekankan kepentingan UMS memperluas tawaran akademik melalui pendekatan micro-credential dan pembelajaran dalam talian. Strategi ini bukan sahaja meningkatkan keanjalan kemasukan pelajar, malah dapat mengurangkan kos pembangunan infrastruktur fizikal.

Dalam masa sama, beliau menyeru agar dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat-syarikat besar di Sabah diurus secara lebih strategik, dengan sebahagiannya disalurkan kepada universiti awam bagi menyokong operasi harian serta memperkasa aktiviti penyelidikan.

“Kita tidak meminta Kerajaan Negeri mengambil alih tanggungjawab Persekutuan, tetapi kita mahu lahirnya semangat kebersamaan. UMS adalah universiti yang mendidik anak-anak Sabah. Jika UMS terkesan, mereka jugalah yang akan menanggung akibatnya.

“UMS adalah aset strategik negeri Sabah yang mesti dipertahankan bersama demi kelangsungan ilmu, kesejahteraan pelajar, dan masa depan pendidikan tinggi di Borneo,” tegas beliau.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.