PENAMPANG (Sabah, Malaysia), 26 Sept 2025 – Selepas banjir besar yang menjejaskan kehidupan ribuan penduduk di Penampang, dua buah sekolah menengah utama di daerah ini turut terkesan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran proses pembelajaran pelajar.
Namun, sinar harapan kembali terbit apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, meluluskan peruntukan segera bagi membantu pemulihan kemudahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak dan Sekolah Menengah St. Michael.
Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, menzahirkan penghargaan atas tindakan pantas itu yang disifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.
“Saya turut memohon agar YB Menteri melawat SMK Limbanak untuk meninjau sendiri keperluan sekolah tersebut, selain melihat keadaan di SM St. Michael, yang telah menerima peruntukan khas bagi mengurangkan impak kerosakan akibat musibah berkenaan,” katanya.
Menurut Ewon, SMK Limbanak menerima kelulusan peruntukan khusus bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaik pulih dewan sekolah yang penting sebagai pusat aktiviti pelajar dan komuniti.
Beliau menegaskan bahawa langkah pantas Kementerian Pendidikan itu bukan sahaja meringankan beban pihak sekolah, malah memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
Sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon melihat inisiatif ini sebagai cerminan komitmen kerajaan dalam memberi tumpuan bukan sahaja kepada pemulihan infrastruktur, tetapi juga kepada masa depan generasi muda.
Katanya, lawatan kerja Fadhlina ke kedua-dua sekolah hari ini membuktikan bahawa dasar pendidikan tidak hanya dibincangkan di meja mesyuarat, tetapi dilaksanakan secara langsung di lapangan dengan mengambil kira suara masyarakat.
“Sebagai Ahli Parlimen Penampang, saya amat menghargai tindakan pantas ini. Ia memberi kelegaan kepada guru, ibu bapa dan pelajar yang mahu melihat sekolah mereka kembali berfungsi dengan baik,” tambahnya.
Penduduk setempat menyambut baik berita kelulusan ini, dengan ramai ibu bapa menzahirkan rasa lega kerana anak-anak mereka dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat.
Dengan bantuan ini, SM St. Michael dan SMK Limbanak bukan sahaja mampu dipulihkan daripada kerosakan akibat banjir, tetapi juga bersedia menjadi pusat pembelajaran yang lebih kukuh menghadapi cabaran masa hadapan.
![]()