TUARAN (Sabah, Malaysia), 28 Sept – Daerah Tuaran mencatat sejarah apabila berjaya meraih pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) selepas menanam 10,000 pokok Tangkol secara serentak sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat daerah, semalam.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata inisiatif julung kali itu merupakan kesinambungan daripada program Hari Bumi yang dianjurkan pada April lalu.
“Program hari ini melibatkan pelbagai pihak, khususnya sekolah yang diberi peranan utama dalam usaha awal menjaga sungai. Manfaat paling besar ialah kesedaran – bahawa kita semua mesti bertanggungjawab terhadap sungai kita,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan acara di Pusat Rekreasi Kelab Tamparuli.
Beliau menambah, usaha berkenaan dimulakan dengan sekolah sebelum diperluas kepada komuniti setempat termasuk Ketua Kampung dan pertubuhan masyarakat.
“Pokok Tangkol ditanam mengikut garis panduan Jabatan Pengairan dan Saliran iaitu lima meter dari tebing sungai. Kita berharap program ini diteruskan setiap tahun sehingga semua 15 batang sungai di Tuaran kembali jernih seperti dahulu, sekali gus membolehkan spesis ikan membiak secara mampan,” jelasnya.
Selain pemuliharaan sungai, Madius turut menekankan kepentingan membudayakan amalan sifar sisa (Zero Waste).
“Langkah kecil ini diharap akan berkembang sehingga menjadi dasar daerah, termasuk dalam penganjuran majlis rasmi kerajaan. Pada masa yang sama, kita meningkatkan kesedaran mengenai aktiviti pemotongan bukit serta penanaman semula getah dengan kerjasama Lembaga Industri Getah Sabah dan agensi berkaitan agar dasar lebih lestari dapat diwujudkan,” tambah beliau.
Program berkenaan melibatkan 15 lokasi dengan penyertaan 45 buah sekolah di seluruh daerah Tuaran.
Turut hadir, Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tungigging; Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hennevy W. Harry; Pegawai Pendidikan Daerah, Awang Seman Ag Tahir; serta Pengarah Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Din Nik Mohamed Din. – Jabatan Penerangan