
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia), 29 Sept 2025 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan pendirian tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli dalam kalangan warga kampus, sama ada secara fizikal, mental, emosi mahupun di alam maya.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, universiti sentiasa memandang serius isu buli kerana ia boleh mengancam keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti pelajar.
“Setiap mahasiswa perlu sedar bahawa kebebasan di universiti hadir bersama tanggungjawab untuk saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.
“UMS tidak akan sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk budaya buli. Jika ia berlaku, laporkan segera. Universiti ini adalah ruang selamat untuk pelajar menimba ilmu, membina sahsiah, dan berkembang sebagai insan berdaya saing,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Sesi 2025/2026 di Dewan Canselor UMS, hari ini.
Beliau menambah, budaya buli tidak seharusnya wujud dalam ekosistem akademik kerana mahasiswa dituntut memberi tumpuan kepada kecemerlangan ilmu, pembangunan peribadi dan pembentukan karakter.
“Ingatlah, anda datang ke sini bukan untuk menjatuhkan rakan, sebaliknya untuk bersama-sama bangkit menuju kejayaan,” katanya.
Dalam masa sama, Profesor Kasim turut memberi jaminan bahawa pihak universiti peka terhadap kebajikan mahasiswa, termasuk isu asas seperti bekalan air dan kemudahan kolej kediaman.
“Sebarang masalah prasarana akan ditangani segera agar mahasiswa dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajian tanpa terganggu oleh isu-isu asas,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa UMS terus mencapai prestasi membanggakan, apabila mencatat Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 94.7 peratus pada tahun 2024, dengan 93.9 peratus daripadanya memperoleh pekerjaan sebaik tamat pengajian.
“Pencapaian ini membuktikan UMS bukan sahaja berperanan sebagai pusat pendidikan tinggi, tetapi juga institusi yang melahirkan graduan berkualiti, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat, industri serta negara,” ujarnya.
Pada sesi akademik kali ini, seramai 5,123 pelajar baharu telah mendaftar masuk, menjadikan mereka sebahagian daripada keluarga besar universiti yang sejak 1994 telah melahirkan lebih 91,000 graduan. — Oleh: Salbinous Saribun
![]()