
KOTA BELUD, 28 September 2025 – Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) memperuntukkan lebih RM300,000 bagi membimbing 30 usahawan tempatan di Sabah menerusi Program Keusahawanan dan Kemahiran JORAN 2.0, yang berlangsung selama empat hari di Wendu Inn Tag Valley, Taginambur, dengan kerjasama Mahabbah Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa komitmen Yayasan KOSMA menganjurkan JORAN 2.0 di Sabah adalah bukti nyata bagaimana sektor koperasi mampu menjadi rakan strategik penting dalam menjayakan agenda kerajaan membangunkan ekosistem keusahawanan negara.
“Melalui program ini, seramai 30 usahawan dipilih mengikuti bimbingan yang dilengkapi dengan bantuan kelengkapan, modal perniagaan serta pemantauan intensif selama enam bulan. Inisiatif ini secara jelas melengkapkan usaha kementerian dan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti, sekali gus memperkukuh ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Keusahawanan dan Bimbingan JORAN 2.0, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menambah, kejayaan peserta JORAN 1.0 menjadi bukti kukuh keberkesanan pendekatan ini, dan berharap peserta kali ini turut melakar kejayaan lebih besar serta menjadi teladan kepada usahawan lain.
Sementara itu, Pengerusi KOSMA, Datuk Haji Zamri Haji Mohamed, menjelaskan peruntukan lebih RM300,000 disalurkan khusus untuk menjayakan program di Sabah.
“JORAN 1.0 telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini apabila 30 peserta pertama berjaya meningkatkan pendapatan keseluruhan daripada RM300,000 kepada hampir RM500,000 dalam tempoh enam bulan. Kami percaya JORAN 2.0 akan mencatat kejayaan lebih besar, selain menjadi pemangkin pembangunan usahawan baharu di seluruh negara,” katanya sambil memaklumkan bahawa siri seterusnya akan diadakan di Pahang.
![]()