Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Serangan Israel di Gaza ragut 5 nyawa termasuk komander Hamas dan kanak-kanak

0
Orang ramai menghadiri upacara pengebumian rakyat Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel, menurut petugas perubatan, di Hospital Al-Shifa, Kota Gaza. – Foto REUTERS

BAITULMAQDIS: Serangan Israel di Semenanjung Gaza mengorbankan lima orang, termasuk seorang komander Hamas dan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, menurut sumber Palestin.

Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan empat orang terbunuh dan enam lagi cedera selepas sebuah dron melepaskan dua peluru berpandu ke atas sebuah kereta di kawasan Al-Rimal, barat Bandar Gaza.

Sumber keselamatan Gaza mengenal pasti dua mangsa sebagai komander Hamas, Iyad al-Shanbari, serta anaknya, Salah, manakala dua lagi mangsa tidak dinyatakan.

Hamas setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan balas.

Walaupun gencatan senjata yang bermula pada Oktober lalu masih berkuat kuasa, Gaza terus dilanda keganasan apabila Israel tidak menghentikan serangan, dengan kedua-dua pihak saling menuduh melanggar perjanjian.

Tentera Israel pada awalnya mengesahkan serangan itu menyasarkan seorang individu yang mereka sifatkan sebagai ‘pengganas’, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Dalam kejadian berasingan, menurut agensi pertahanan awam, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, Adel al-Najjar, terbunuh apabila serangan dron dan bedilan artileri berlaku di timur Khan Younis.

Rakyat Palestin yang terpaksa berpindah menghadiri upacara pengebumian selepas empat orang terbunuh dalam serangan Israel yang mensasarkan sebuah kenderaan di Kota Gaza. – Foto AFP

Tentera Israel pula mendakwa seorang individu mencurigakan menghampiri pasukan mereka di kawasan Garisan Kuning sebelum memasuki sebuah bangunan yang kemudian diserang.

Bagaimanapun, selepas siasatan semula, tentera memaklumkan individu berkenaan tidak terbabit dalam sebarang ancaman dan berkemungkinan cedera dalam serangan itu.

Pada Isnin, pasukan perubatan Gaza menerima mayat seorang remaja berusia 15 tahun, Ayham al-Omari, yang ditembak mati di bandar utara Beit Lahiya.

Tentera Israel berkata tindakan itu diambil selepas mengesan seorang suspek yang didakwa menimbulkan ancaman segera.

Gencatan senjata itu secara umumnya telah menamatkan perang Gaza yang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Namun, keganasan masih berterusan dengan sekurang-kurangnya 818 rakyat Palestin terbunuh sejak ia bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang angka laporannya diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam tempoh sama, tentera Israel memaklumkan lima anggotanya turut terbunuh di Gaza. – AFP

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.