Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penilaian perisikan beri amaran kemungkinan serangan Iran ke atas AS selepas kematian Khamenei

0

 

Papan iklan Ayatollah Ali Khamenei di Tehran selepas beliau dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel dan AS.

WASHINGTON: Iran dan proksinya mungkin mensasarkan Amerika Syarikat (AS) dengan serangan sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, pada Sabtu oleh serangan Israel dan AS, menurut penilaian perisikan AS yang disemak oleh Reuters.

Penilaian ancaman bertarikh 28 Februari yang disediakan oleh Pejabat Perisikan dan Analisis di Department of Homeland Security menyatakan Iran dan proksinya “kemungkinan” menimbulkan ancaman serangan terancang ke atas AS, walaupun serangan fizikal berskala besar adalah tidak mungkin.

Laporan itu menambah bahawa dalam jangka pendek, kebimbangan utama ialah “hacktivis” yang berpihak kepada Iran mungkin melancarkan serangan siber berskala kecil ke atas rangkaian AS, termasuk pengubahsuaian laman web dan serangan penafian perkhidmatan teragih (DDoS).

“Walaupun serangan fizikal berskala besar adalah tidak mungkin, Iran dan proksinya kemungkinan besar menimbulkan ancaman berterusan melalui serangan terancang di tanah air, dan hampir pasti akan meningkatkan tindakan balas — atau seruan untuk bertindak — jika laporan kematian Ayatollah disahkan,” menurut laporan DHS yang disemak oleh Reuters.

DHS tidak memberi maklum balas segera apabila diminta komen.Iran pada Ahad mengesahkan laporan mengenai kematian Khamenei akibat serangan pada Sabtu, yang pada awalnya diumumkan oleh Israel dan Presiden AS, Donald Trump.

Penilaian DHS turut menyatakan bahawa Iran kemungkinan besar akan meneruskan serangan terhadap sasaran AS dan sekutunya di Asia Barat dan hampir pasti akan menyalahkan pegawai kanan kerajaan AS atas sebarang protes yang timbul susulan kenyataan Trump mengenai perubahan rejim.

Perang udara AS dan Israel terhadap Iran yang bermula pada Sabtu meluas pada Isnin apabila Israel menyerang Lubnan sebagai tindak balas kepada serangan oleh Hezbollah, manakala Tehran mengekalkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Pada Isnin, pihak berkuasa yang menyiasat kejadian tembakan pada Ahad di sebuah bar di Austin, Texas, yang mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang, berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada penembak itu didorong oleh perang di Iran.

Mayat penembak itu, yang maut ditembak oleh polis, dilihat dalam foto yang diperoleh Reuters memakai baju bertemakan bendera Iran dengan perkataan “IRAN” ditulis dalam hijau, putih dan merah di bahagian depan.

Beliau juga memakai baju sejuk yang tertera perkataan “Property of Allah,” menurut seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang AS kepada Reuters.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.