Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO Mohon Sertai GRS, Perkukuh Agenda “Sabah First” dan Penyatuan Parti Tempatan

0
Ewon Benedick (empat kanan) menyampaikan permohonan rasmi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada Pengerusi GRS, Hajiji Noor.

Oleh Mohd Khairy Abdullah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dalam langkah yang dilihat mampu mengukuhkan lagi blok politik tempatan Sabah menjelang landskap baharu politik negeri.

Permohonan rasmi itu disampaikan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor oleh Presiden UPKO, Ewon Benedick yang mengetuai delegasi parti dalam satu pertemuan di sini hari ini.

Langkah UPKO itu memberi isyarat jelas bahawa parti berkenaan memilih untuk memperkukuh agenda penyatuan parti-parti tempatan Sabah, selain membina kestabilan politik negeri melalui kerangka kerjasama strategik yang lebih tersusun dan berpengaruh.

Ewon berkata, keputusan memohon menyertai GRS dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lalu mencapai persetujuan sebulat suara, sekali gus mencerminkan pendirian tegas parti terhadap keperluan memperkasakan suara politik Sabah menerusi gabungan tempatan yang dominan.

Menurut beliau, UPKO melihat masa depan Sabah perlu dipacu oleh kesatuan politik tempatan yang stabil, progresif dan mempunyai pendirian jelas dalam memperjuangkan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Malaysia Agreement 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“UPKO percaya masa depan Sabah mesti dibina melalui kekuatan kerjasama parti-parti tempatan yang bersatu, stabil dan mempunyai hala tuju jelas untuk rakyat serta negeri ini.

“Wawasan ‘Sabah First’ yang diperjuangkan UPKO selari dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang dibawa GRS, dan ia perlu diperkukuh melalui penyatuan lebih erat demi kestabilan politik serta kemajuan ekonomi Sabah,” katanya.

Pemerhati politik melihat perkembangan itu sebagai langkah strategik yang berpotensi memperkukuh kedudukan GRS sebagai teras utama politik Sabah, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan persediaan menuju Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.

Penyertaan UPKO juga dijangka memperluaskan lagi pengaruh politik tempatan dalam kerajaan negeri, selain memperkukuh naratif autonomi Sabah, pembangunan inklusif dan kestabilan pentadbiran berteraskan kepimpinan tempatan.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.