Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

PUTRA sertai PRN-17 Sabah, tawar kepimpinan baharu berteraskan integriti

0

KENINGAU (Sabah, Malaysia), 9 November 2025 — Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) secara rasmi mengumumkan penyertaan julung kalinya dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah, menandakan kemunculan satu lagi kuasa politik baharu dalam landskap politik negeri itu.

Pengerusi PUTRA Sabah, Jeffrus Maimin Rijan, berkata parti tersebut telah mengenal pasti empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) — Liawan, Balung, Bengkoka dan Pitas — sebagai kawasan tumpuan untuk ditandingi dalam pilihan raya akan datang.

“PUTRA mempunyai ruang dan asas yang kukuh untuk bertanding di empat kawasan tersebut. Kami sudah berada dalam keadaan siapsiaga,” katanya ketika ditemui media di Keningau pada Ahad.

Menurut Jeffrus, PUTRA berhasrat menjadi alternatif politik yang berwibawa kepada rakyat Sabah dengan membawa pendekatan kepimpinan yang bersih, berintegriti dan berpaksikan hak-hak bumiputera Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa calon-calon yang bakal diketengahkan adalah rakyat tempatan yang diterima pengundi, bebas daripada kontroversi, dan berakar umbi di kawasan masing-masing.

“Calon PUTRA adalah anak jati kawasan, mereka faham realiti setempat dan memiliki keupayaan untuk membawa suara rakyat dengan jujur serta berani,” katanya.

Jeffrus turut menyeru agar rakyat Sabah melakukan perubahan kepimpinan yang lebih berprinsip, menolak amalan politik usang yang berteraskan kepentingan peribadi.

“Rakyat sudah muak dengan apa yang sedang berlaku hari ini. Sudah tiba waktunya Sabah dipimpin oleh mereka yang benar-benar berjiwa rakyat, bersih daripada rasuah, dan mempunyai keberanian moral untuk memperjuangkan kepentingan negeri,” tegasnya.

Penyertaan PUTRA dalam PRN-17 dilihat sebagai isyarat kepada peningkatan pluraliti politik di Sabah, yang kini menjadi medan kompetitif antara parti-parti tempatan dan gabungan nasional dalam usaha menawan hati pengundi menjelang pilihan raya negeri yang dijangka sengit itu.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.