Oleh Mohd Khairy Abdullah

KOTA KINABALU, 14 Julai — Kerajaan Persekutuan perlu menilai semula pelaksanaan Program BUDI Diesel dengan mempertimbangkan kuota subsidi yang lebih tinggi kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk ibu tunggal, peniaga kecil dan usahawan wanita, kata Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Mohina Ronnie Sidom.
Mohina berkata langkah kerajaan meningkatkan kuota subsidi kepada 300 liter bagi kategori tertentu adalah satu perkembangan positif, namun jumlah itu masih belum mencukupi bagi sebahagian pengguna di Sabah yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Beliau berkata ramai usahawan wanita di negeri itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan van diesel untuk mengangkut hasil pertanian, menjalankan perniagaan serta berniaga di tamu, dengan keperluan penggunaan bahan api yang lebih tinggi berikutan faktor geografi dan jarak perjalanan.
“Keadaan geografi Sabah yang melibatkan perjalanan jauh, jalan luar bandar dan kos logistik yang tinggi memerlukan pendekatan dasar yang lebih fleksibel serta mengambil kira realiti kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohina berkata kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian kuota tambahan berdasarkan keperluan sebenar pengguna dan tahap kebergantungan terhadap diesel untuk menjana pendapatan, bukan semata-mata berdasarkan jenis kenderaan.
Menurut beliau, pendekatan itu akan memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk ibu tunggal dan penjaja wanita yang menanggung kos sara hidup serta perbelanjaan keluarga.
Beliau turut mengalu-alukan kenyataan Kementerian Kewangan bahawa pelaksanaan Program BUDI Diesel akan terus dipantau dan ditambah baik berdasarkan maklum balas orang ramai.
Katanya, pandangan wanita, khususnya usahawan mikro dan ibu tunggal di Sabah serta Sarawak, perlu diambil kira dalam sebarang penilaian semula dasar subsidi bersasar kerana mereka berdepan cabaran logistik dan mobiliti yang berbeza berbanding negeri lain.
Program BUDI Diesel diperkenalkan kerajaan sebagai mekanisme subsidi bersasar bagi membantu kumpulan yang layak di samping mengurangkan ketirisan dalam sistem subsidi bahan api.
![]()