Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ahli Parlimen diberi masa hingga 4 petang esok pilih PM baharu

0

SERAMAI  220 orang Ahli Parlimen diberi masa sehingga esok (Rabu) untuk memilih perdana menteri yang baharu.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun telah mengutuskan notis kepada ahli-ahli Parlimen terbabit untuk menyerahkan surat akuan kepada Istana Negara menjelang pukul 4 petang esok.

“Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” kata Azhar.

Surat akuan itu perlu mempunyai butiran lengkap identifikasi ahli Parlimen, indentifikasi ahli Parlimen yang dipilih untuk menjadi perdana menteri dengan pernyataan yang terang, jelas dan tanpa syarat.

Surat akuan itu juga perlu ditandatangani, mempunyai tandatangan dan cop rasmi saksi sama ada peguambela dan peguam cara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding bagi ahli Parlimen yang berada di luar negara. Surat itu juga perlu mempunyai tarikh.

Surat akuan yang tidak memenuhi butiran berkenaan dan lewat sampai tidak akan diambil kira.

Menurutnya, semua surat akuan perlu dihantar melalui e-mel, faks dan WhatApps.

Azhar berkata, serahan tangan tidak dibenarkan sama sekali kerana Istana Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan bagi mengelakkan penularan Pandemik Covid-19.

 333 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.