Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

‘AS main peranan penting untuk singkirkan saya’ – Imran Khan

0

ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan yang digulingkan, Imran Khan mendakwa Amerika Syarikat (AS) mengetuai konspirasi untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan tertinggi negara itu.

Imran bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

Dakwaan Imran seolah-olah menunjukkan AS akan masuk campur untuk meruntuhkan pentadbiran sesebuah negara.

Selepas Rusia, AS didakwa cuba merosakkan Pakistan hanya kerana mempunyai hubungan baik dengan Moscow.

Imran berulang kali mendakwa parti pembangkang Pakistan sedang bekerjasama dengan kuasa asing.

Pemimpin itu mendakwa beliau menjadi sasaran konspirasi didalangi AS selepas keengganannya untuk menyokong Washington dalam isu menentang Rusia dan China.

Bagaimanapun, AS menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Sebelum ini, Imran mengadakan lawatan ke Moscow untuk bertemu dengan Presiden Vladimir Putin ketika Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine.

Imran juga pernah lantang mengkritik kempen AS `Perang menentang keganasan’ di Asia Barat antaranya Afghanistan.

Menurut wartawan BBC, Secunder Kermani, perdana menteri dianggap meraih jawatan penting negara itu dengan bantuan tentera Pakistan.

Namun, pakar pemerhati politik menyatakan sokongan mereka sudah tiada lagi.

Malah, sebahagian ahli parti pimpinannya, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berpaling tadah.

Susulan itu, pakatan parti pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Imran selepas mendakwa pemimpin itu kehilangan majoriti sokongan.

Pakatan parti pembangkang menuduh kerajaan pimpinan Imran mengamalkan rasuah dan mendakwa beliau melakukan salah urus ekonomi di tengah-tengah krisis ekonomi yang semakin memuncak.

Jumaat lalu, Imran menerusi ucapan menggesa rakyat untuk tampil mengadakan protes hari ini bagi membantah anasir luar.

“Saya akan bersama anda kerana saya tidak sesekali menerima konspirasi asing terhadap Pakistan,” katanya.

Dalam pada itu, ketua parti pembangkang, Shehbaz Sharif menyifatkan keputusan mahkamah untuk meneruskan usul undi tidak percaya itu telah menyelamatkan Pakistan dan Perlembagaan negara.

Sesi pengundian itu dilaksanakan selepas beberapa wakil rakyat pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Parlimen Ahad lalu dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Imran.

Namun, Timbalan Speaker Parlimen, Qasim Suri menolak usul undi tidak percaya terhadap Imran dengan menyifatkannya sebagai `tidak berperlembagaan’.

Qasim juga menyatakan tindakan itu menunjukkan wujudnya `campur tangan asing’.

Kerajaan pimpinan Imran kemudian cuba membubarkan Parlimen dan menggesa pilihan raya diadakan segera.

Tindakan itu menyebabkan beberapa ahli pembangkang berasa marah dengan ada dalam kalangan mereka menuduh perdana menteri melakukan pengkhianatan kerana menyekat usul tersebut.

Susulan itu, ahli politik pembangkang memfailkan petisyen di Mahkamah Agung Pakistan untuk memutuskan sama ada tindakan menyekat usul undi tidak percaya berlandaskan Perlembagaan negara.

Khamis lalu, mahkamah agung memutuskan tindakan Imran untuk menghalang undi tidak percaya adalah tidak berperlembagaan.

Mahkamah juga memutuskan sesi pengundian itu harus diteruskan.

Sementara itu, Imran memberi amaran bahawa beliau tidak akan mengiktiraf kerajaan `pembangkang’ sekiranya disingkirkan daripada jawatan. – AGENSI

 

 

 

 

 142 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.