
Oleh Mohd Khairy Abdullah
DALIAN, 7 Mei 2026 — Sabah memperkukuh langkahnya sebagai pemain baharu ekonomi maritim serantau apabila misi perdagangan dan pelaburan negeri itu ke Dalian, China berjaya menghasilkan dua memorandum persefahaman (MoU) dan tiga surat hasrat (LOI) yang merangkumi kerjasama pendidikan, teknologi, industri maritim dan pembangunan ekonomi biru.
Perkembangan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa Sabah kini sedang bergerak agresif membina rangkaian strategik antarabangsa bagi mempercepat transformasi ekonominya, khususnya dalam sektor berasaskan laut, logistik dan teknologi hijau.
Majlis pertukaran dokumen berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick bersama wakil kerajaan Dalian sempena Sesi Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Dalian-Sabah: Dialog Interaktif Mengenai Sektor Ekonomi Biru, di sini, kelmarin.
Dalam landskap ekonomi Indo-Pasifik yang semakin dipacu sektor maritim dan teknologi lestari, kerjasama antara Sabah dan Dalian dilihat mempunyai nilai strategik yang signifikan. Dalian merupakan antara hab maritim dan logistik utama di utara China dengan kekuatan dalam teknologi marin, pembinaan kapal, pembangunan pelabuhan dan industri pesisir pantai, manakala Sabah memiliki kelebihan sumber semula jadi, kedudukan geografi strategik serta akses langsung kepada laluan perdagangan Laut China Selatan.
Antara MoU yang dimeterai ialah kerjasama antara Dalian Maritime University dan Universiti Malaysia Sabah yang dijangka membuka ruang penyelidikan bersama, pembangunan modal insan maritim dan pertukaran teknologi akademik.
Turut dimeterai ialah kerjasama teknologi penukaran air minuman bagi penggunaan air berfungsi antara Jetama dan Dalian Bowen Software Technology Co. Ltd., mencerminkan usaha Sabah memperluas penggunaan teknologi pintar dan penyelesaian mampan dalam pengurusan utiliti air.
Tiga LOI pula melibatkan kerjasama antara Dalian Municipal Federation of Industry and Commerce dengan Sekretariat Sabah Maju Jaya, kerjasama antara Dalian Ocean University dan SSMJ, serta kerjasama pendidikan antara Beijing Open University International Curriculum Center dengan Kementerian Pendidikan, Sains dan Inovasi Sabah.
Ketika berucap, Ewon berkata pemeteraian MoU dan LOI merupakan platform penting untuk memperkukuh integrasi Sabah dalam rantaian ekonomi serantau yang sedang berkembang pesat, juga simbol diplomasi ekonomi..
Beliau berkata Sabah kini sedang meletakkan asas untuk muncul sebagai hab perdagangan maritim, logistik dan ekonomi biru di rantau Borneo serta Asia Tenggara.
“Sabah sedang memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab serantau bagi perdagangan maritim, logistik, pembangunan industri dan pelaburan ekonomi biru.
“Dalian pula terkenal sebagai hab maritim, logistik dan industri yang mempunyai kekuatan dalam pembangunan pelabuhan, teknologi marin, pembinaan kapal dan pembangunan industri pesisir pantai,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri kini memberi fokus kepada 15 industri utama di bawah kerangka ekonomi biru, termasuk akuakultur moden, logistik maritim, bioteknologi marin, teknologi tenaga laut dan sistem pemantauan lautan.
Dalam usaha mempercepat agenda itu, Sabah sedang melaksanakan beberapa projek strategik berskala besar termasuk pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, projek penyahgaraman air di POIC Lahad Datu serta pembangunan kemudahan solar terapung di Empangan Babagon.
Penganalisis melihat pendekatan Sabah itu selari dengan perubahan arus ekonomi global yang kini memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, tenaga bersih, teknologi air dan ekonomi laut mampan sebagai pemacu pertumbuhan baharu.
Ewon berkata Sabah turut mengalu-alukan penyertaan syarikat dan institusi dari China dalam bidang pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, inovasi industri dan usaha sama sektor berimpak tinggi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan bahawa Sabah merekodkan pelaburan sektor pembuatan berjumlah RM7.6 bilion pada 2025, meningkat 208 peratus berbanding RM2.47 bilion pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, RM6.6 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI), manakala RM1 bilion lagi adalah pelaburan domestik.
Lonjakan itu dilihat mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan dasar ekonomi Sabah serta potensi negeri itu sebagai destinasi pelaburan baharu berasaskan industri hijau, maritim dan ekonomi masa depan.
![]()