Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ewon Perkasa Kebersamaan Aidiladha di Kadamaian

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah

 Ewon menyampaikan sumbangan CSR kepada salah seorang penerima

KOTA BELUD, 24 Mei — Ewon Benedick terus memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan masyarakat di Kadamaian apabila menyampaikan sumbangan berjumlah RM40,000 kepada tujuh masjid dan gabungan lima surau sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Sumbangan yang disalurkan menerusi Cement Industries Sabah (CIS) itu memberi manfaat kepada Masjid Tengkurus, Masjid Tambulion, Masjid Al-Mubarak Kampung Lasau Podi, Masjid Lompios, Masjid Takulung, Masjid Al-Ikhwan Kampung Rajunah, Masjid Lobong-Lobong serta gabungan lima surau membabitkan Surau Narinang, Melangkap Tiong, Lingkubang, Podos dan Pinolobuh.

Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Pejabat ADUN Kadamaian selepas pertemuan bersama pengerusi jawatankuasa masjid seluruh DUN Kadamaian, di sini, hari ini.

Ewon Benedick berkata, inisiatif berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dan kepimpinan tempatan dalam memastikan nilai keharmonian, perpaduan serta semangat saling membantu terus subur dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

Beliau berkata, bantuan tersebut diharap dapat membantu pihak masjid dan surau melaksanakan ibadah korban serta membuat persiapan sambutan Aidiladha dengan lebih sempurna dan teratur.

“Saya merakamkan penghargaan kepada CIS atas kerjasama dan keprihatinan dalam menyalurkan sumbangan ini kepada masyarakat Islam di Kadamaian.

“Semoga semangat keharmonian, kebersamaan dan kerjasama rakyat Sabah terus diperkasakan melalui usaha berterusan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Nurul Huda Tengkurus, Antoni Satu dan wakil Masjid Kampung Tambulion, Joeharmawi Tindapau menzahirkan penghargaan kepada Ewon Benedick atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

Menurut mereka, sumbangan tersebut bukan sahaja membantu melancarkan pelaksanaan ibadah korban, malah memperkukuh hubungan erat dan semangat kebersamaan masyarakat di Kadamaian menjelang sambutan Aidiladha.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.