Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Bantuan keluarga Malaysia menafaat besar rakyat pedalaman Sabah – Arthur

0

Bantuan keluarga Malaysia menafaat besar rakyat pedalaman Sabah

BANTUAN Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan dalam Bajet 2022 memberi menafaat besar kepada ramai rakyat pedalaman Sabah, Kata Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Arthur Kurup.

Katanya,  majoriti rakyat pedalaman Sabah berada dalam kategori yang diberi keutamaan menerima bantuan terbabit yang memperuntukkan sehingga RM2,000 kepada isi rumah tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500, sekali gus meringankan beban rakyat di pedalaman.

“Ini akan meringankan beban Keluarga Malaysia di luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah,” hurainya dalam kenyataan mengulas mengenai Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Pensiangan itu memberitahu, belanjawan tahun depan adalah cerminan semangat diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara yang meletakkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sebagai asas seperti menjaga sebuah keluarga.

Katanya, pembangunan sosioekonomi negara terus menjadi fokus utama termasuk di Sabah bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

“Keutamaan kerajaan dalam pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar seperti di kawasan pedalaman Sabah akan menjadi pemacu perubahan kepada sosio ekonomi dan di kawasan berkenaan.

“Sebanyak RM5.2 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan Sabah antaranya pembinaan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, bekalan air luar bandar dan bekalan air alternatif serta lain-lain infrastruktur akan menjadi pemangkin kepada asas kemudahan yang kukuh untuk Keluarga Malaysia di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyokong langkah kerajaan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk di Pagalungan dalam kawasan Parlimen diwakilnya yang disifatkan langkah sangat tepat bagi memperkukuh kedaulatan negara memandangkan pembangunan yang semakin pesat di Kalimantan, Indonesia.

“Ini bagi memastikan aspek keselamatan negara terutamanya keselamatan masyarakat setempat sentiasa diberikan perhatian khusus,” jelasnya.

Arthur berkata, langkah kerajaan untuk terus melaksanakan projek kecil dan sederhana bernilai RM2.9 bilion yang dikhususkan kepada kontraktor kelas G1 hingga G4 di seluruh negara dapat membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara selain menyokong kitaran ekonomi dalam sektor pembinaan.

 

 703 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.