Oleh EKOK AMIN
SOOK (Sabah, Malaysia): Datuk Ellron Angin mengajak belia di daerah itu khususnya ahli-ahli Trusmadi Motor Rider (TMR) agar melengkapkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai jaminan masa depan mereka.
Menteri Belia dan Sukan Sabah itu berkata, tuntutan masa kini menghendaki golongan pelapis perlu kreatif dan berani menerokai bidang yang lebih mencabar dan menjamin masa depan mereka.
“Saya melihat adalah penting bagi setiap belia supaya proaktif dan tidak hanya bergantung kepada sektor pekerjaan semata-mata”, katanya ketika merasmikan Program Myfit@Motor Sport Peringkat Negeri Sabah di sini pada Rabu.
Seramai 50 peserta menyertai program itu.
Ellron berkata selaku menteri yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga kepentingan belia, pihaknya sentiasa berlapang dada untuk membantu mana-mana persatuan yang menginginkan ahlinya dilengkapi dengan ilmu perniagaan dan keusahawanan.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana persatuan yang ingin didedahkan dalam bidang perniagaan dan keusahawanan memandangkan sektor ini amat penting terutamanya dalam kalangan belia” jelasnya dan menambah cadangan menjadikan TMR Amban Resort sebagai salah satu produk pelancongan merupakan langkah terbaik.
Terdahulu Program Myfit@Motor Sport Peringkat Negeri Sabah yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan Sabah itu dengan kerjasama Trusmadi Motor Ride dan KRT Kg. Kuit Lanas ini berlangsung selama dua hari yang bermula pada 19 Disember dan berakhir pada Rabu..
Antara tujuan program itu adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai sukan bermotor dan tatacara pemanduan selamat dan berhemah.
Progrm itu diadakan di TMR Amban Resort Kampung Kuit Lana situ turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tulid Datuk Flovia Ng, pegawai kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemimpin setempat.
1,437 total views, 1 views today