5KUNDASANG (Sabah, Malaysia): Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak-anak muda Kg. Kauluan Kundasang, apa yang beliau sifatkan berjaya menggerakkan koperasi dan memanfaatkan potensi pelancongan setempat.
“Saya berharap usaha dan kejayaan koperasi ini menjadi contoh dan inspirasi kepada koperasi lain untuk terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi setempat, Katanya Ketika merasmikan Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK) di sini, Sabtu.
KOPSODIK ditubuhkan secara rasmi pada Disember 2022 di Kg. Kouluan Kundasang dan bergerak aktif dalam sektor pelancongan sejak tahun 2015.
Ketika berucap pada majlis itu, Ewon memuji kepimpinan koperasi yang diterajui oleh golongan belia dan turut terlibat dalam perusahaan sosial, termasuk membangunkan kemahiran keusahawanan di kalangan wanita bagi menghasilkan produk kraftangan serta mencipta peluang pekerjaan kepada belia.
Ewon berkata, KOPSODIK juga telah memperoleh penarafan sosial, membolehkan koperasi itu layak menerima geran sebanyak RM100,000 di bawah Program Perusahaan Sosial (SE) Koperasi untuk memperkukuh aktiviti mereka.
Hari yang sama, Ewon turut melawat Kundasang Aquafarm, sebuah perusahaan akuakultur yang dikendalikan oleh Azizul Julirin, seorang usahawan belia yang juga alumni Program Tunas Usahawan Belia (TUBE) 2016 di bawah SME Corp Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Azizul, yang juga Presiden Persatuan Alumni TUBE Sabah (PANTAS), berjaya membangunkan Kundasang Aquafarm sehingga menerima lebih 14,000 pengunjung sejak dibuka, melatih lebih 1,000 usahawan, dan menawarkan peluang latihan industri kepada 283 graduan.
Produk akuakultur yang dihasilkan bukan sahaja mendapat permintaan dalam negara tetapi turut berjaya menembusi pasaran negara jiran.
“Saya berbangga melihat kejayaan Azizul yang bukan sahaja membangunkan perniagaan sendiri, tetapi juga membantu ramai belia lain untuk berjaya dalam bidang keusahawanan,” kata Ewon.
Beliau berharap pencapaian Azizul dapat menjadi contoh kepada usahawan belia lain dalam membangunkan perniagaan yang berdaya maju dan memberi manfaat kepada komuniti.