KOTA MARUDU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan Koperasi Progresif Bandau Berhad yang memfokuskan aktiviti perniagaan sektor pertanian dan hartanah.
Beliau berharap, koperasi itu dapat berkembang dengan pro-aktif sesuai dengan matlamat penubuhannya seterusnya meningkatkan sosio ekonomi anggota-anggota koperasi.
“Pada tahun lepas, kita telah mendaftarkan 1,001 koperasi iaitu yang terbanyak dalam sejarah pendaftaran tahunan. Ini menunjukkan sambutan sangat memberangsangkan ke atas gerakan koperasi negara pada tahun lepas.
“Apa yang lebih membanggakan ialah prestasi koperasi-koperasi baharu dan sedia ada, di mana pada tahun lepas, gerakan koperasi mencapai nilai perolehan RM64 bilion, mengatasi sasaran dalam Dasar Koperasi Negara.
“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi, saya akan terus menyokong dan membantu mempermudahkan penubuhan koperasi untuk tujuan mengembangkan potensi yang ada di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, di sini, hari ini.
Ewon berkata, antara manfaat menubuhkan koperasi ialah anggotanya mempunyai akses pelbagai kemudahan pembiayaan yang disediakan untuk koperasi dan latihan kepada anggota koperasi.
Katanya lagi, kementeriannya akan terus melipatgandakan usaha untuk memastikan rakyat mendapat manfaat dalam pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana melalui gerakan keusahawanan dan koperasi.
Beliau berkata, rakyat terutamanya perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) harus merebut peluang dan inisiatif yang disediakan oleh kementerian serta agensi-agensinya.
“Sebagai pemimpin parti-parti perpaduan, kita mempunyai peranan dan tanggungjawab besar untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat akar umbi mengenai semua inisiatif yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.
Mengenai perkembangan Projek Tamu Desa yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) buat julung kalinya, tahun ini, Ewon berkata, setakat ini lebih 30 permohonan di negeri ini telah diterima.
“Kita akan mulakan pembinaan pada tahun ini dan mudah-mudahan setiap tahun, kementerian kita mendapat peruntukan di bawah inisiatif belanjawan tahunan untuk membolehkan kita menaiktaraf atau membina baharu tamu-tamu desa di Sabah dan Sarawak,” katanya.