PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan outlet francais 1901 yang pertama di Sabah, yang terletak di KDCA Penampang.
1901 adalah anak syarikat Pernas, satu daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan diusahakan oleh seorang usahawan wanita di Sabah.
Ewon berkata, setakat ini, outlet 1901 mempunyai 44 premis di seluruh negara dan berharap pembukaan premis ini di Sabah akan meningkatkan minat dan motivasi kepada bakal-bakal usahawan francaisi menceburi sektor ini.
“Bagi Sabah, dari tahun 2007 sehingga hari ini, Pernas telah membangunkan seramai 63 usahawan francaisi dan telah menyalurkan pembiayaan sekitar RM14 juta.
“Ini satu perkembangan yang memberangsangkan dan saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Sabah akan berkecimpung dalam sektor francais di seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Outlet 1901, di KDCA Penampang, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Pernas adalah agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan keusahawanan francais, akan terus memberikan perkhidmatan dan bimbingan kepada usahawan-usahawan yang berminat menceburi bidang francais.
“Saya berharap rakyat Malaysia di Sabah merebut peluang yang ada untuk menceburi perniagaan dalam bidang francais.
“Saya ingin melihat lebih banyak penyertaan usahawan kita dalam bidang ini, kita tidak boleh menjadi pembeli semata-mata tetapi harus menjadi usahawan francaisi,” katanya.