KOTA KINABALU, 9 Sept – Meski pun sedang bercuti kerana persiapan kelahiran anak pada Isnin, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick tetap turun padang memastikan kebimbangan penduduk Kampung Kolopis mengenai projek Lebuhraya Pan Borneo diberi perhatian serius kerajaan.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi membawa isu itu terus kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya, sambil menegaskan penduduk tidak akan terjejas dengan skop kerja tambahan projek berkenaan.
Beliau berkata penjelasan JKR berhubung pembinaan vehicular box culvert di kawasan Kolopis penting untuk meredakan keresahan masyarakat setempat.
“Saya hargai kesudian YB Datuk Shahelmey dan pihak JKR memberi penjelasan serta berbincang mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan oleh para penduduk,” katanya selepas pertemuan itu di Kota Kinabalu.
Menurut Ewon, JKR bersama agensi berkaitan akan turun padang pada hari ini (Selasa) bagi membuat penandaan rezab lebuhraya dan kawasan sebenar projek, sekali gus menamatkan salah faham bahawa rumah penduduk akan dirobohkan.
“Tiada rumah penduduk akan dirobohkan. Saya mahu perkara ini jelas supaya masyarakat Kolopis dapat bertenang dan yakin dengan penjelasan pihak berkuasa,” katanya.
Kunjungan itu turut disertai wakil penduduk Kolopis – Lofina, Nicholas dan Johnny – yang diberi ruang menyampaikan sendiri kebimbangan mereka di hadapan pihak kerajaan.
![]()