BAITULMAQDIS: Israel sedang menyiasat dakwaan pemimpin tentera kedua tertinggi Hamas maut dalam serangan udara ketika rundingan mendapatkan gencatan senjata dalam perang Gaza berjalan menjelang Ramadan.
Jika kematiannya disahkan, Marwan Issa akan menjadi pegawai tertinggi dalam kalangan pejuang Hamas maut dibunuh Israel dalam perang lebih lima bulan yang menghancurkan wilayah Palestin serta meragut lebih 30,000 nyawa orang awam.
Radio Tentera Israel mendakwa tentera regim itu mengebom kem Al-Nusseirat di tengah Gaza pada Sabtu lalu berdasarkan maklumat risikan mengenai lokasi Marwan, yang juga komander kedua sayap pejuang Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam.
Akhbar Israel, Haaretz, melaporkan bahawa Israel sedang memeriksa sama ada mangsa serangan maut berkenaan turut membabitkan Marwan.
Tentera Israel dan pegawai Hamas bagaimanapun tidak segera mengulas mengenai laporan media terbabit.
Israel dalam satu kenyataan berkata tenteranya telah membunuh pejuang Hamas di tengah Gaza tetapi tidak menyebut mengenai kem itu
Marwan berada dalam senarai paling dikehendaki Israel, bersama-sama ketua sayap pejuang Hamas, Mohammed Deif dan pemimpin Hamas di Gaza, Hamas Yahya Sinwar, yang dipercayai dalang serangan 7 Oktober lalu terhadap Israel.
Sekiranya kematian Marwan disahkan, ia boleh merumitkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan, walaupun Israel berkata rundingan sedang berjalan melalui pengantara Mesir dan Qatar. – REUTERS