KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Jalan Kota Kinabalu-Sandakan di Ranau ditutup sementara kerana kegagalan pembetung yang runtuh dan jalan terputus akibat hujan lebat berterusan sepanjang malam pada Rabu.
Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, kejadian kegagalan pembetung di kawasan KM 109.378, Ranau itu membahayakan laluan berkenaan dan tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan.
Kejadian kira-kira jam 10 malam Rabu menyebabkan ratusan kenderaan terkandas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Pengguna jalan raya boleh melalui laluan alternatif melalui Jalan Sinarut Baru Togudon Baru (hanya untuk kenderaan Kecil).
“Semua pengguna jalan raya dimohon untuk mematuhi arahan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” jelas kenyataan itu.
Jalan Kota Kinabalu-Sandakan adalah antara jalan utama menghubungkan Pantai Barat dan Timur negeri ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat pada 8.35 malam ini untuk beberapa kawasan antaranya di Pantai Barat Sabah melibatkan daerah Ranau, Tuaran dan Kota Belud hingga 1 pagi ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata, ketika ini pihaknya menerima banyak panggilan mengenai kejadian tanah runtuh dan kini pegawai dan anggota dalam tindakan.