Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Juil Tinggalkan Parti KDM

0

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) Timbalan Presiden Parti Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Juil Nuatim tinggalkan parti itu pada pada Ahad, sekali gus menjawab teka teki mengenai hala tuju Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pemimpin nombor dua parti KDM yang mengasaskan bersama parti itu bersama Datuk Peter Anthony bagaimana pun mengesahkan menjadi ADUN Bebas untuk seketika.

“Ya, saya keluar parti bermula hari ini (Ahad). Kini saya kekal sebagai ADUN Bebas.

“Kita tengok dulu mana parti yang boleh membantu membawa pembangunan dan kemajuan di kawasan DUN Limbahau,” katanya.

Beliau berkata, keputusan keluar parti itu dibuat selepas memikirkan tentang pembangunan dan kepentingan rakyat di kawasannya di Limbahau Papar.

Juil berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony namun, di peringkat negeri, beliau mahu melihat pembangunan dibawa masuk ke kwasan yang beliau wakili.

Wakil Rakyat itu mengakui akan menyokong pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah.

Tindakan Juil keluar parti dipercayai berikutan keputusan kerajaan negeri membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlangsung esok hingga Khamis ini.

Ketika kemelut politik berlaku pada awal Januari lalu, KDM dilihat menyokong kumpulan yang cuba merampas kuasa dan menjatuhkan Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah.

Kumpulan itu dianggotai oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020, Juil yang bertanding atas tiket Warisan mengumumkan keluar parti pada 28 Disember 2021 bersama-sama Peter Anthony.

Kemudian bersama Peter menubuhkan parti KDM pada Februari tahun lalu, dan dilantik sebagai Timbalan Naib Presiden KDM.

 641 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.