KUCHING (Sarawak, Malaysia):Pembukaan kampus baharu Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di Sarawak, cawangan kedua selepas Sabah selari dengan fokus tambahan untuk Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak), jelas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Kampus INSKEN di Sabah dibuka sepenuhnya pada Mei lepas.
Ewon berkata, Kampus INSKEN Sarawak mengadakan pelbagai latihan dan program keusahawanan melibatkan 63 program dan sehingga kini jumlah keseluruhan peserta seramai 2784 orang.
“Manakala pada tahun ini, kita telah mengadakan 27 program di Sarawak setakat ini yang telah memberi manfaat kepada 865 orang dan INSKEN akan terus menganjurkan latihan ataupun program bimbingan keusahawanan tahun ini.
“Saya berharap dengan adanya kampus baharu ini, usahawan di Sarawak boleh mengambil bahagian daripada program-program yang disediakan,” katanya pada persidangan media
selepas merasmikan Kampus INSKEN di Sarawak Plaza Shopping Complex, di sini, Ahad.
Katanya, pembukaan Kampus INSKEN di Sarawak juga bertepatan dengan usaha kementerian untuk memperkasa lebih ramai usahawan di negeri ini.
“Saya berharap dengan adanya cawangan ini lebih ramai usahawan dan bakal usahawan di Sarawak merebut peluang mengikuti program latihan dan bimbingan yang disediakan oleh INSKEN,” katanya.
Kampus INSKEN Sarawak dilengkapi bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta dalam satu masa. Fasiliti lengkap yang disediakan memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran dan pembangunan usahawan selain kos efektif untuk menjalankan program latihan dan bimbingan.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, kelebihan Kampus INSKEN di Sarawak adalah lokasi strategik di bandar memudahkan aksesibiliti kepada semua usahawan dan peserta program daripada kawasan sekitar.
“Ia juga memudahkan kerjasama bersama pihak berkepentingan tempatan, seperti agensi dan badan kerajaan.
“INSKEN sememangnya dikenali sebagai agensi yang progesif dalam memperkasa usahawan di Malaysia. Keputusan bijak untuk membuka cawangan seterusnya di Sarawak bertepatan dalam memajukan ekosistem keusahawanan di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).
“Ini membuktikan faktor lokasi bukanlah menjadi penghalang untuk usahawan di Sarawak mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Katanya lagi, Kementerian dan agensi sentiasa peka dengan keperluan usahawan termasuk pandangan yang diberikan pada sesi dialog bersama pemain industri Sabah dan Sarawak yang dijalankan baru-baru ini.
“Antara cadangan yang diberikan adalah supaya lebih banyak latihan keusahawanan bukan sahaja untuk koperasi tetapi usahawan kecil termasuk mikro dan informal dianjurkan di Sabah dan Sarawak.
“Hasilnya kini INSKEN sudah mula bertapak di kedua-dua negeri ini bagi terus membantu usahawan di sini,” katanya.
INSKEN menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk usahawan, antaranya Program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), INSKEN Start-Up Coaching, Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.
Tambahnya, setakat September 2023, INSKEN telah menjalankan sebanyak 27 program latihan dan bimbingan di Sarawak dan seramai 865 peserta daripada Sarawak telah mendapat manfaat program.
“Dalam masa yang sama, INSKEN juga aktif menjalankan enam klinik usahawan di Sarawak seperti di Miri, Lundu, Kapit, Betong, Sarikei dan Sibu. Sejumlah 225 peserta menerima konsultasi percuma dalam sesi klinik usahawan yang dialankan,” katanya.