KANAK-kanak lelaki berusia 10 tahun di Kampung Sinakut Felda Sahabat 16, Lahad Datu (Sabah, Malaysia) hilang ketika mandi manda dipercayai dibaham buaya pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Samsoa Rashid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak pada pukul 7.18 malam dan sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambung semula pada pukul 10.20 pagi pada Ahad.
“Bomba bertindak mendapatkan maklumat terkini daripada Balai Polis Cenderawasih dan seterusnya menuju ke lokasi dengan bantuan ibu mangsa.
“Walau bagaimanapun, penilaian awal mendapati tiada tempat sesuai untuk menurunkan bot berhampiran lokasi.
“Justeru, anggota kami terpaksa bergerak ke jeti di kawasan Desa Kencana yang terletak sejauh 7 kilometer dari lokasi untuk menurunkan bot,” katanya.
Setakat 3 petang pada Ahad, mayat mangsa belum ditemukan dan operasi SAR masih giat dijalankan.