
PENAMPANG, 16 Ogos – Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang berlangsung selama tiga hari di Buhavan Square, Sabah, menyasarkan jualan keseluruhan RM4.25 juta menerusi penyertaan kira-kira 70 usahawan tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, pada Sabtu.
Daripada jumlah itu, RM4 juta disasarkan melalui BizFrancais Pernas, manakala usahawan di bawah UDA dijangka menyumbang RM250,000, menurut beliau ketika merasmikan karnival tersebut.
Ewon berkata, program anjuran bersama UDA Holdings Berhad (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) mencerminkan kerjasama strategik agensi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan serta memperluas peluang ekonomi sehingga ke peringkat akar umbi.
“Karnival ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan usahawan di bandar, malah dibawa terus kepada masyarakat luar bandar,” katanya.
Dilancarkan pada 2022, Karnival UDA bertujuan menyediakan akses pasaran kondusif kepada perusahaan kecil dan sederhana, selain membina jaringan perniagaan dan memperkasa jenama tempatan.
UDA kini memiliki lebih 1,000 lot ruang niaga di seluruh negara, di samping melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA Bizznita, UDA 4 Youth dan UDA Preneur untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.
Ewon menegaskan, kerajaan komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah melalui peluasan peluang perniagaan, penyediaan premis komersial, akses pembiayaan dan program latihan usahawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Harapan saya adalah untuk melihat UDA meningkatkan lagi peranannya di Sabah dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, agar lebih ramai usahawan tempatan dapat menikmati peluang sama rata seperti di negeri lain,” katanya.
![]()