Oleh DG HENRY
KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Parti Kesejahteraan Demokratik Rakyat (KDM) bergerak solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15, sekaligus mengumumkan calon pertama Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong bagi kerusi Parlimen Kota Kinabalu.
Presiden parti itu Datuk Peter Anthony berkata, KDM bersedia menghadapi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kita akan meneliti secara lebih mendalam bagi membuat persediaan menghadapi GRS.. di peringkat parti kita juga mempunyai perancangan tersendiri,” katanya dalam sidang media di majlis makan malam parti itu yang diadakan di Dewan Hakka, di sini lewat malam pada Jumaat.
Peter turut mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri Bandau Datuk Wetrom Bahanda sebagai Timbalan Presiden KDM bagi kuota Islam dan calon KDM bagi Kota Marudu.
Ditanya mengenai kedudukan dalam GRS, Peter berkata, sehingga kini partinya masih mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, tetapi sehingga kini belum menerima sebarang status.
“Kita masih mesra GRS seperti yang saya katakan sebelum ini. Ketua Menteri, Hajiji Noor seorang pemimpin yang tidak ada tolak bandingnya .. Cuma di peringkat parti kita membuat keputusan untuk bertanding kerana ini pilihan raya Parlimen,” katanya.