Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Kekayaan Pemimpin Dunia Terbongkar

0

HAMPIR 12 juta dokumen terbesar kewangan mengandungi maklumat sulit kekayaan melibatkan lebih 300 pemimpin dunia, ahli politik dan bilionair didedahkan kepada umum.

Dikenali sebagai Pandora Papers, ini termasuk fail individu yang mengelak untuk membayar cukai serta pengubahan wang haram dilakukan mereka yang kaya dan berkuasa di dunia.

Lebih 600 pengamal media di 117 negara meneliti fail dari 14 syarikat perkhidmatan kewangan di beberapa negara selama berbulan-bulan, termasuk di British Virgin Islands, Panama, Belize, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Switzerland.

Data tersebut diperoleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) di Wa­shington, yang telah bekerjasama dengan lebih daripada 140 orga­nisasi media dalam penyelidikan global terbesarnya.

Ketua negara dan pemerintah, dari Jordan hingga Azerbaijan, Kenya dan Republik Czech, didakwa menggunakan ‘tempat perlindungan cukai’ syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan aset bernilai ratusan juta dolar.

Dokumen itu antara lain mendedahkan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan isteri, Cherie mengelak pembayaran duti setem sebanyak AS$434,000 ketika mereka membeli sebuah pejabat di London melalui syarikat luar pesisir yang memilikinya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin juga dikaitkan dengan aset rahsia di Monaco manakala syarikat luar pesisir yang didakwa dimiliki ‘kekasihnya’ dilaporkan membeli sebuah pangsapuri bernilai AS$4.1 juta.

Kediaman mewah itu dibeli oleh Brockville Development Ltd., yang akhirnya dikesan dimiliki Svetlana Krivonogikh (kekasih Putin), lapor Guardian.

Dokumen itu turut mendedahkan Raja Jordan yang mengumpul hartanah secara diam-diam bernilai 70 juta pound (RM395 juta) di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Pendedahan lain melibatkan Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis yang gagal mengisytiharkan syarikat pelaburan pesisir yang digunakan untuk membeli dua vila bernilai 12 juta pound (RM67.8 juta) di selatan Perancis.

BBC melaporkan, Lakshmi Kumar dari Global Financial Inte­grity memberitahu, kebanyakan mereka ini ‘dapat menyalurkan dan menyedut wang dan menyem­bunyikannya’ melalui ‘syarikat tanpa nama’.

BERAPA BANYAK WANG RAHSIA?
Modus operandi ‘aset sulit’ itu kebanyakannya melalui penubuhan shell company (syarikat tanpa aktiviti atau aset tertentu) di salah sebuah negara yang mempunyai kerahsiaan tinggi.

Ini adalah syarikat yang hanya wujud atas nama, tanpa kakita­ngan atau pejabat.

Walaupun begitu, ia memerlukan wang.

Firma pakar akan dibayar untuk menubuhkan dan menjalankan operasi shell company.

Mengenai persoalan berapa banyak wang yang ‘disorok’ di syarikat luar pesisir, ICIJ me­negaskan anggarannya berkisar antara AS$5.6 trilion sehingga AS$32 trilion.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan, tindakan mengelak pembayaran cukai menyebabkan kerajaan seluruh dunia kehilangan sumber cukai sebanyak AS$600 bilion, setiap tahun.

Kumar berkata, ini merugikan rakyat biasa, memberi kesan kepada pembangunan pendidikan kanak-kanak, kesihatan dan perumahan.

DIDAKWA ROMPAK NEGARA
Dalam pada itu, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan keluar­ganya dituduh merompak negara mereka sendiri.

Hasil penyiasatan mendapati Ilham dan teman rapatnya secara sulit terlibat dalam perjanjian hartanah di UK bernilai lebih 400 juta pound (RM2.26 bilion).

Ilham berjaya menjana keuntungan 31 juta pound (RM175 juta) selepas menjual salah satu aset di Crown Estate, London.

Kebanyakan transaksi yang terlibat tidak melibatkan sebarang salah laku di sisi undang-undang.

Dokumen kewangan yang bocor itu juga menunjukkan bagaimana Raja Jordan mempunyai empayar hartanah di UK dan AS.

Mereka mengenal pasti rangkaian­ syarikat pesisir luar di Bri­tish Virgin Islands yang digunakan oleh Raja Abdullah II Al-Hussein untuk membeli 15 rumah sejak memerintah dari 1999.

Hartanah itu merangkumi 50 juta pound (RM282 juta) dengan tiga rumah agam mempunyai pemandangan laut di Malibu, California serta hartanah di London dan Ascot di UK.

Peguam kepada Raja Abdullah berkata, semua hartanah yang dibeli digunakan dengan kekayaan sendiri yang turut digunakan bagi pendanaan projek rakyat Jordan.

Jelasnya, ia adalah amalan biasa bagi individu berprofil tinggi membeli hartanah melalui syarikat pesisir luar bagi tujuan ke­selamatan dan privasi.

Pendedahan lain turut melibatkan Presiden Kenya; Perdana Menteri Pakistan; Presiden Ukraine dan Ecuador.

 

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.